Sumbangan Bot, Enjin Sangkut Bantu Mudahkan Pergerakan Warga SK Long Palai
MIRI: Sumbangan sebuah bot bersama enjin sangkut 15 kuasa kuda bernilai RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Long Palai, Ulu Baram dijangka membantu meningkatkan keselamatan dan kemudahan pengangkutan warga sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada laluan sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata sumbangan daripada Speedtrack Construction (E.M.) Sdn. Bhd. itu disalurkan selepas pihak sekolah memaklumkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sebuah bot.
Beliau berkata, SK Long Palai yang tidak mempunyai akses jalan raya memerlukan pengangkutan sungai bagi menjalankan urusan harian melibatkan guru dan murid.
“Bot ini bukan sekadar peralatan, tetapi merupakan kemudahan penting yang akan membantu menyediakan pengangkutan lebih selamat dan boleh dipercayai kepada warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan simbolik penyampaian bot dan enjin sangkut itu yang dilakukan oleh Pengarah Urusan Speedtrack Construction (E.M.) Sdn Bhd, Sunny Eu Tieng Ing kepada Guru Besar SK Long Palai, Benedett Nyuko di sini, pada Sabtu.
Dato Dennis berkata, sumbangan itu juga membuktikan bahawa usaha menangani keperluan asas masyarakat di kawasan pedalaman memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, pihak swasta dan komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Speedtrack Construction (E.M.) Sdn. Bhd. yang sebelum ini turut menyumbangkan 12 unit Smart TV kepada SK Long Luteng dan SK Ubung Emang bagi menyokong kemudahan pembelajaran digital di sekolah luar bandar.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajang serta Penghulu Augustine Supen Taja. -EDISI UKAS