Penguasaan Bahasa Mandarin Buka Peluang Sarawak Bersaing Dalam Ekonomi Global
KUCHING: Penguasaan bahasa Mandarin merupakan antara kelebihan strategik yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada Sarawak untuk bersaing dan mengembangkan pasaran dalam ekonomi global yang semakin kompetitif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, selain bahasa kebangsaan yang menjadi identiti negara, penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin kini menjadi satu keperluan dalam ekonomi dunia.
Menurut beliau, ekonomi Sarawak yang berorientasikan eksport memerlukan tenaga kerja yang mampu berkomunikasi dengan rakan dagang, khususnya China yang merupakan antara pasaran utama bagi komoditi seperti minyak sawit dan gas asli cecair (LNG).
“Apabila berurusan, anda perlu berunding sebagai seorang ahli perniagaan, jadi anda mesti mengetahui bahasa mereka supaya ada asas untuk berbual dan berunding mengenai harga, jumlah jualan, keuntungan yang diperlukan serta cara menghantar produk ke China.
“Jika anda pergi ke China dan menguasai bahasa Mandarin, maka anda telah menyelesaikan separuh daripada masalah kerana jika tidak, anda memerlukan seorang jurubahasa namun jurubahasa itu mungkin menyampaikan mesej yang berbeza tanpa anda sedari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Reunion Alumni Universiti Nanyang di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak tidak boleh bergantung kepada pasaran domestik yang hanya mempunyai kira-kira 2.8 juta penduduk, sebaliknya perlu terus mengembangkan pasaran luar melalui penguasaan bahasa dan peningkatan daya saing.
Jelasnya, perdagangan di rantau ini seperti Thailand dan Indonesia sebahagian besar ekonomi digerakkan oleh masyarakat Cina sekali gus membuka luas peluang pasaran untuk bisnes di Sarawak.
Justeru, Premier Sarawak memberitahu, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kerajaan Sarawak adalah sebahagian daripada pendekatan strategik negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan ekonomi global yang semakin kompetitif.
Menurutnya, pengiktirafan UEC penting kerana sijil berkenaan telah diterima oleh banyak universiti di luar negara dan kegagalan mengiktirafnya hanya akan menjejaskan masa depan pelajar.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengerusi Alumni Universiti Nanyang Datuk Tiong Thai King, alumni-alumni serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie