KUCHING: Sarawak mengambil pendekatan lebih selektif dalam meluluskan pelaburan pusat data bagi memastikan pembangunan industri digital negeri memberi nilai tambah yang lebih tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan ini dilakukan memandangkan ia tidak menawarkan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat
“Apa yang boleh saya kongsikan di sini ialah ramai pihak mahu membina pusat data di Sarawak kerana kita mempunyai bekalan tenaga, namun kita sangat selektif.
“Pusat data ini ibarat sebuah gudang global tetapi apa yang dilakukan hanyalah menyimpan data di situ, sedangkan peluang pekerjaan yang diwujudkan tidak banyak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Reunion Alumni Universiti Nanyang di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, pendekatan tersebut diambil kerana landskap teknologi berkembang dengan pantas dan pusat data dijangka mengalami perubahan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang selari dengan kemunculan teknologi baharu berasaskan grid kecerdasan buatan (AI).
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, perkembangan teknologi semikonduktor turut menyaksikan inovasi dalam kaedah penyimpanan data, termasuk penggunaan cakera berasaskan kaca yang dibangunkan di Sarawak.
Jelasnya, syarikat Western Digital di Sarawak kini menghasilkan teknologi penyimpanan data menggunakan kaca, berbeza dengan teknologi berasaskan silikon yang digunakan secara meluas sebelum ini.
“Di Pulau Pinang, Western Digital menghasilkan cakera penyimpanan data menggunakan silikon tetapi Western Digital di Sarawak menghasilkan cakera penyimpanan data yang tidak lagi menggunakan silikon, sebaliknya menggunakan kaca.
“Ini merupakan yang pertama di dunia dan mereka melakukannya di Sarawak,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, perubahan landskap ekonomi dunia menuntut sistem pendidikan turut berubah bagi melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran sejajar dengan teknologi baharu.
Katanya, usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi amat penting supaya Sarawak mampu memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi global. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie