AirBorneo Sasar Buka Laluan Jakarta Dalam Tempoh Dua Bulan, Rancang Kembang Ke Asia Timur
KUALA LUMPUR: AirBorneo dijangka membuka laluan penerbangan ke Jakarta, Indonesia dalam tempoh dua bulan selepas syarikat penerbangan milik Sarawak itu diperuntukkan ruang operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan itu merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha AirBorneo memperluaskan rangkaian penerbangannya di rantau ASEAN.
“Jakarta akan menjadi destinasi seterusnya dalam tempoh dua bulan ini. Malah, kita telah pun diperuntukkan ruang operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin.
Sementara itu jelasnya, selepas memulakan operasi penerbangan ke Singapura sempena Hari Sarawak pada 22 Julai ini, AirBorneo akan meneruskan peluasan rangkaiannya ke Jakarta sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh hubungan ekonomi dan jaringan serantau.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, AirBorneo bukan sahaja memberi tumpuan kepada destinasi di ASEAN, malah turut merancang membuka laluan ke Asia Timur dalam tempoh satu hingga dua tahun, di samping memperkukuh perkhidmatan udara luar bandar.
“Dalam tempoh satu hingga dua tahun, kita juga sedang meneroka pembukaan laluan penerbangan ke Asia Timur, sambil terus memperkukuh perkhidmatan udara luar bandar," jelasnya lagi.
Beliau menambah, peluasan rangkaian penerbangan itu dijangka memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan mobiliti rakyat, selain menyokong aspirasi Sarawak muncul sebagai hab ekonomi yang lebih berdaya saing di rantau ini.
Jelas beliau, rangkaian penerbangan yang lebih meluas juga diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan, termasuk pelancongan perubatan, di samping menarik lebih ramai pelabur asing ke Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Muhammad Rais