Vendor OGSE Sarawak Raih Kontrak RM49.31 Bilion, Bukti Keupayaan Industri Tempatan
KUCHING: Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak terus mengukuhkan kedudukan dalam industri tenaga negara apabila berjaya memperoleh kontrak bernilai RM49.31 bilion bagi tempoh 2014 hingga Mac 2026.
Ini sekali gus membuktikan peningkatan keupayaan, daya saing dan kredibiliti syarikat tempatan dalam rantaian bekalan sektor minyak dan gas.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 60 peratus kontrak dilaksanakan di Sarawak, sekali gus memastikan sebahagian besar limpahan ekonomi terus dinikmati negeri ini.
Menurut beliau, bagi suku pertama 2026 sahaja, seramai 267 vendor Sarawak berjaya memperoleh kontrak bernilai RM1.57 bilion, mewakili lebih 32 peratus daripada keseluruhan nilai kerja yang dianugerahkan di Sarawak.
"Pencapaian ini dilengkapi dengan pelaburan huluan kumulatif melebihi RM310 bilion pada suku keempat 2025.
"Di sebalik angka yang mengagumkan, ia mencerminkan kredibiliti, keupayaan dan daya saing syarikat tempatan yang semakin kukuh dalam menyokong aktiviti huluan yang semakin canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Commemoration of OGSE 2025 anjuran Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Dalam majlis tersebut, seramai 82 vendor tempatan menerima pengiktirafan yang disampaikan Naib Presiden Kumpulan Perolehan PETRONAS, Rashidah Alias, dan disaksikan Datuk Amar Awang Tengah.
Selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beliau berkata Sarawak akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai ‘hybrid petro-electro state’ melalui pembangunan industri gas asli, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hidrogen.
Sehubungan itu, beliau menggesa vendor tempatan terus melabur dalam pembangunan modal insan, penerapan teknologi, pendigitalan, automasi serta kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti dan memperluas penyertaan dalam rantaian nilai industri tenaga di peringkat serantau serta global.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan memperkasa vendor tempatan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Pembangunan Vendor (VDP), sokongan pembiayaan serta program yang menggalakkan amalan perniagaan mampan dan inklusif.
Jelas beliau lagi, kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak, PETRONAS, PETROS, Petroleum Arrangement Contractors (PAC), persatuan industri dan syarikat tempatan akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan industri tenaga yang lebih berdaya saing, mampan dan bernilai tinggi.
Turut hadir Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong; serta Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datu Lester Matthew.-EDISI UKAS