Raptai penuh Townhall Hari Sarawak 2026 berjalan lancar di UTS Sibu
SIBU: Raptai penuh Program Townhall bersempena Sambutan Hari Sarawak 2026 berlangsung dengan lancar di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini pada Selasa sebagai persiapan akhir menjelang penganjuran program berkenaan.
Program tersebut dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada petang Rabu.
Raptai dimulakan dengan sesi pengenalan program oleh moderator yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, sebelum diteruskan dengan simulasi sesi Townhall serta dialog bersama para peserta.
Raptai itu bertujuan memastikan kelancaran perjalanan program meliputi aspek pengurusan majlis, perjalanan acara, penyelarasan teknikal serta penyertaan semua agensi yang terlibat bagi menjamin kelancaran pelaksanaannya.
Hadir menyaksikan raptai ialah Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Mohamed Faizal Shah Ali serta wakil-wakil agensi berkaitan yang terlibat dalam penganjuran program tersebut.
Program Townhall bersempena Sambutan Hari Sarawak 2026 dijangka menjadi platform penting untuk rakyat khasnya golongan pelajar berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan negeri, di samping mendapatkan penjelasan mengenai dasar, inisiatif dan hala tuju pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS