Penjawat Awam Sarawak ‘Gatekeeper’ Pembangunan Berasaskan Data
KUCHING: Penjawat Awam Sarawak kini perlu beralih daripada sekadar pelaksana dasar kepada ‘gatekeeper’ atau pemudah cara dan pemacu pembangunan berasaskan data bagi memastikan Sarawak terus mendepani era pendigitalan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perubahan peranan itu menuntut penjawat awam memiliki kecekalan, kesediaan untuk berubah serta komitmen berterusan meningkatkan kemahiran digital, literasi data dan keupayaan berfikir secara kritis serta inovatif.
“Ini memerlukan kecekalan, kesediaan untuk berubah dan semangat untuk terus belajar.
Justeru, anggota Perkhidmatan Awam Sarawak dituntut agar terus meningkatkan kemahiran digital dan literasi data serta membina keupayaan berfikir secara kritis dan inovatif dalam mendepani persekitaran global yang semakin kompleks serta dipacu oleh teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Sambutan Hari Sarawak 2026.
Sementara itu jelasnya, penjawat awam juga perlu mengamalkan prinsip 3R iaitu Revisit, Rethink and Recharge bagi memastikan sektor awam sentiasa tangkas menyesuaikan diri dengan perubahan dan tuntutan pendigitalan.
Beliau berkata, tempoh lima tahun akan datang dijangka lebih mencabar, namun yakin semangat kerja berpasukan, integriti dan komitmen tinggi akan membolehkan Perkhidmatan Awam Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama pembangunan negeri.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut mengingatkan bahawa Sambutan Hari Sarawak memperingati detik bersejarah apabila buat pertama kali anak jati Sarawak menerajui kepimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak pada 22 Julai 1963.
Katanya, ia menjadi simbol perjuangan pemimpin terdahulu dalam mempertahankan hak, maruah dan masa depan negeri.-EDISI UKAS