Lebih 5,000 Peserta Semarakkan Aktiviti Zumba Hari Sarawak 2026
SIBU: Semangat sambutan Hari Sarawak 2026 terus dirasai apabila lebih 5,000 peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat umur membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang pada Selasa bagi menyertai Aktiviti Zumba, sekali gus membuktikan sambutan itu bukan sahaja menghayati sejarah negeri, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengukuhkan perpaduan rakyat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin hadir memeriahkan program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) itu.
Penganjuran aktiviti berkenaan bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat melalui penyertaan komuniti daripada pelbagai lapisan masyarakat, di samping menggalakkan budaya hidup sihat bersempena sambutan Hari Sarawak.
Program yang berlangsung hampir dua jam itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk sebuah televisyen 65 inci sebagai hadiah utama.
Pada majlis sama, Dato Sri Lee turut merasmikan Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026 dan Sibu Kitchen yang diadakan bersebelahan pentas utama, sekali gus menambah kemeriahan sambutan yang mengetengahkan sejarah, budaya dan warisan Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan, Setiausaha Tetap MYSED Dzulkornain Masron, Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS