AirBorneo Jadi ‘Jambatan Udara’ Sarawak Perkukuh, Hubungan Rakyat dan Pacu Pertumbuhan Ekonomi
KUALA LUMPUR: AirBorneo bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan komersial, malah berperanan sebagai ‘jambatan udara’ yang menghubungkan Sarawak dengan dunia dalam usaha memperkukuh mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, konsep itu selaras dengan pendekatan Kerajaan Sarawak yang telah membina lebih 20 jambatan di seluruh negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi meningkatkan kesalinghubungan darat.
"Kita melihat AirBorneo sebagai sebuah jambatan udara kerana kita berada di sebuah pulau. Justeru, syarikat penerbangan ini kita anggap sebagai jambatan udara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin.
Beliau menambah, sebagaimana pembinaan jambatan yang menghubungkan komuniti di seluruh Sarawak, AirBorneo akan memainkan peranan penting menghubungkan rakyat, pelabur dan pelancong melalui rangkaian penerbangan yang lebih meluas.
"Seperti yang anda ketahui, dalam tempoh empat tahun lalu kita telah membina lebih 20 jambatan di Sarawak. Kini, pendekatan itu kita perluaskan menerusi pembinaan jambatan udara," ujar beliau lagi.
Sementara itu jelasnya, pendekatan tersebut turut disokong oleh model perniagaan yang berbeza, dengan Kerajaan Sarawak menanggung sebahagian kos tetap, manakala operasi syarikat dijalankan secara komersial bagi memastikan daya saing dan kelestariannya.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, AirBorneo merupakan pelaburan strategik kerajaan negeri yang bukan sahaja meningkatkan hubungan fizikal, malah menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan dalam sektor berimpak tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan industri baharu yang sedang berkembang di Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kehormat yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Muhammad Rais