Tujuh Cadangan Projek RTP Di DUN Simunjan, Parlimen Batang Sadong Ditinjau
SADONG JAYA: Sebanyak tujuh cadangan projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2027 melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dan Parlimen Batang Sadong ditinjau bagi memastikan pelaksanaannya dapat dirancang secara sistematik serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
Tinjauan tersebut diadakan lebih awal sebelum peruntukan diluluskan sebagai sebahagian daripada proses penilaian awal bagi meneliti kesesuaian lokasi, mengenal pasti aspek teknikal serta menyelaras skop kerja antara agensi berkaitan.
Program yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan itu melibatkan enam cadangan RTP di bawah DUN Simunjan dan satu cadangan RTP di bawah Parlimen Batang Sadong.
Antara projek yang ditinjau ialah menaik taraf Dewan Kampung Senangeh, menaik taraf Dewan Kampung Terasi Iban, menaik taraf Jalan Lorong Kampung Terasi Cina, menaik taraf Jalan Lorong ke Lorong Kampung Terasi Hulu, menaik taraf Surau Sinar Islam Kampung Rangawan Hulu, pembinaan baharu Pusat Sumber Kampung Tanjung Kelaso serta menaik taraf Padang Kampung Tanjung Kelaso.
Tinjauan berkenaan bertujuan mendapatkan maklumat terperinci bagi penyediaan Bill of Quantities (BQ), menilai keadaan sebenar di setiap lokasi serta memastikan setiap cadangan memenuhi keperluan penduduk sebelum dikemukakan untuk kelulusan.
Pendekatan turun padang itu turut membolehkan agensi pelaksana membuat penilaian awal dan menyelaras aspek teknikal agar kerja-kerja pelaksanaan dapat dimulakan dengan lebih lancar sebaik sahaja peruntukan diluluskan.
Selain Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Daerah Asajaya, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Pusat Khidmat ADUN N.25 Simunjan serta ketua-ketua kaum dari kampung yang terlibat.
Pelaksanaan projek RTP ini dijangka dapat meningkatkan kemudahan awam dan infrastruktur luar bandar, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.
Turut hadir ialah Pegawai Khas kepada ADUN Simunjan Rafendy Ariffen, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan Mohd Azlan Affiq Mohd Nasir, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Asajaya Michael Pawan, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup. -EDISI UKAS