Projek Pembinaan Semula Klinik Kesihatan Biawak Dipercepat, Fokus Perolehan Tapak Sebelum Dipertimbang Dalam Senarai RMK13
KUCHING: Projek pembinaan semula Klinik Kesihatan Biawak terus dipercepatkan menerusi satu sesi perbincangan strategik melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), wakil rakyat, pemimpin masyarakat serta agensi berkaitan bagi memperincikan hala tuju pelaksanaan projek berkenaan.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu tapak, proses pengambilan tanah serta strategi mempercepatkan penyediaan dokumentasi bagi membolehkan projek tersebut dipertimbangkan sebagai antara keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut yang diadakan di Taman Janting, Batu Kawah pada Isnin
Menurut pihak JKNS, cadangan pembinaan semula klinik itu sebelum ini berdepan kekangan berkaitan kos kerja tanah dan penyediaan tapak yang dianggarkan mencecah RM54 juta, sekali gus menyebabkan projek tersebut tidak dapat dimasukkan dalam fasa terdahulu.
Bagaimanapun, projek itu kekal sebagai antara projek berimpak tinggi memandangkan kedudukannya yang strategik dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan sempadan.
Sehubungan itu, semua pihak bersetuju supaya proses pemilihan tapak disegerakan bagi membolehkan urusan pengambilan tanah, penyediaan pelan teknikal serta permohonan baharu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dilaksanakan tanpa kelewatan.
Dalam sesi tersebut turut dibincangkan cadangan pembinaan sebuah Klinik Kesihatan Jenis 4 yang lebih komprehensif, lengkap dengan kemudahan kuarters kakitangan, perkhidmatan pesakit luar (OPD), unit kecemasan (ER), radiologi, pergigian serta kemudahan lain yang mampu memenuhi keperluan penduduk Biawak dan kawasan sekitarnya.
Selain meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan primer, pembinaan klinik baharu itu juga dijangka memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan sempadan, termasuk menempatkan kakitangan secara tetap bagi mengurangkan kebergantungan kepada operasi dari Lundu serta menyokong fungsi kawalan kesihatan di pintu masuk antarabangsa Biawak. -EDISI UKAS