Kontraktor Perlu Jaga Reputasi Syarikat, Siapkan Projek RTP Ikut Jadual
SRI AMAN: Kontraktor yang diberikan tanggungjawab melaksanakan projek di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) diingatkan supaya sentiasa menjaga prestasi dan reputasi syarikat masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, para kontraktor boleh menjaga prestasi syarikat masing-masing dengan memastikan tender projek yang diperoleh disiapkan mengikut jadual.
"Kegagalan para kontraktor dalam mengurus serta menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan dalam tender terbabit akan menyebabkan projek RTP berkenaan dilabel sebagai 'sakit'.
"Kegagalan bertindak menyiapkan projek mengikut jadual akan menjadi ukuran kepada tahap kecekapan kontraktor itu sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dan sekali gus menjejaskan projek RTP untuk penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pesanannya yang disampaikan oleh Setiausaha Sulitnya, Jilin Itar pada upacara ringkas penyerahaan Projek RTP Menaik Taraf Rumah Panjang Anjar di Sinjor, Simanggang pada Isnin.
Tambahnya, pihak kontraktor juga perlu sedar mengenai setiap projek yang dilaksanakan merupakan amanah rakyat kerana mampu menjejaskan kepercayaan penduduk terhadap Kerajaan Sarawak jika ia terbengkalai atau lambat disiapkan.
Justeru, Datuk Francis menggesa agar kontraktor sentiasa berkomunikasi dengan agensi pelaksana projek sekiranya berdepan cabaran supaya penyelesaian dapat dicapai tanpa menjejaskan jadual projek.
Terdahulu, sebanyak lapan surat tender projek RTP diserahkan kepada kontraktor melibatkan projek di Sinjor, Pasar Sabu, Temudok Atas, San Ugol, San Demam Undop, Jalan Kaong, Sungai Labi dan Entawa.
Kesemua projek tersebut merangkumi kerja naik taraf rumah panjang, gelanggang, jalan kampung dan jalan kubur dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta dengan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) bertindak sebagai agensi pelaksana. -EDISI UKAS