Kerajaan Sarawak Komited Perluas Sistem MVCC, Jamin Kestabilan Bekalan Elektrik Luar Bandar
SADONG JAYA: Kerajaan Sarawak komited memperluas pelaksanaan sistem Medium Voltage Covered Conductor (MVCC) ke seluruh wilayah ini bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik sentiasa terjamin untuk dinikmati oleh para pengguna.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, naik taraf kepada sistem MVCC ini bertujuan untuk meminimumkan gangguan bekalan ekoran masalah luar jangka seperti sentuhan dahan pokok atau hidupan liar.
"Berbeza dengan kabel konvensional, sistem MVCC menggunakan teknologi berpenebat dan terlindung sepenuhnya.
"Oleh itu, ia tidak sensitif terhadap gangguan luar jangka seperti hinggapan burung mahupun sentuhan dahan pokok yang sering menjadi punca bekalan elektrik terputus sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, sebelum meneruskan tinjauan ke Kampung Sungai Lumut, Sebuyau pada hari yang sama.
Mengulas lanjut mengenai projek berimpak tinggi bernilai RM150 juta itu, Dato Sri Julaihi menjelaskan, ia melibatkan pembinaan jajaran talian elektrik sepanjang 124 kilometer (km) merentasi empat daerah utama iaitu Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, dan Sebuyau sehinggalah ke Daerah Gedong.
Menurutnya, pecahan fasa jajaran merangkumi jarak 63 km dari Daerah Asajaya ke Daerah Sebuyau, manakala jajaran dari Daerah Kecil Sadong Jaya menuju ke Daerah Simunjan pula adalah sejauh 23 km sebelum diteruskan ke Daerah Gedong.
Tambahnya, bagi menyokong kestabilan jajaran talian, sebanyak 1,600 struktur tiang utiliti sedang dan akan didirikan secara berperingkat oleh kontraktor yang dilantik, Showfield Sdn Bhd, di bawah seliaan Sarawak Energy Berhad (SEB) melalui Syarikat SESCO Berhad (SESCO).
Selain talian darat ujarnya, projek ini turut melibatkan pemasangan kabel dasar laut bermutu tinggi yang merentasi kawasan lintasan sungai dari seberang Sebuyau ke sebelah Asajaya sehingga ke Jambatan Batang Sadong.
"Bagi memastikan keselamatan dan ketahanan jangka panjang, kabel dasar sungai berkenaan ditanam pada kedalaman 1.5 meter atau kira-kira 5 kaki di bawah dasar sungai bagi menjamin keselamatan struktur utiliti berkenaan," tambah beliau.
Sehubungan itu jelasnya, pihak berkuasa turut mengingatkan pengusaha logistik maritim dan pemilik kapal agar tidak berlabuh di kawasan larangan sepanjang laluan kabel tersebut bagi mengelakkan sebarang implikasi atau kerosakan terhadap aset utiliti berkenaan.
Keseluruhan projek naik taraf grid elektrik luar bandar ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2028 dan bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam menaik taraf infrastruktur utiliti demi kesejahteraan rakyat secara berterusan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Yusri Safri, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) Syed Fauzi Shahab serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS