Sambutan Hari Sarawak Cerminkan Kemajuan Berteraskan Perpaduan dan Nilai Moral
SIBU: Sambutan Hari Sarawak perlu terus menjadi lambang kemajuan negeri yang dibina atas asas perpaduan, integriti dan nilai moral selaras dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai peneraju dalam ekonomi digital, inovasi teknologi dan pembangunan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kemajuan yang sedang dikecapi Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan transformasi hijau perlu sentiasa dipandu oleh nilai, etika serta kebijaksanaan.
Menurut beliau, pembangunan yang mampan bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, malah turut bergantung kepada kekuatan integriti, belas ihsan serta sahsiah masyarakat.
“Teknologi mesti sentiasa dipandu oleh nilai, etika dan kebijaksanaan.
“Kemajuan material tanpa asas moral adalah kosong, kekayaan ekonomi tanpa kesejahteraan rohani tidak mampan, manakala pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu mentakrifkan sebuah masyarakat yang berjaya sekiranya tidak disertai integriti, belas ihsan dan sahsiah yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian semasa Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di sini pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Hari Sarawak bukan sekadar memperingati detik bersejarah 22 Julai 1963, malah menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama.
Jelas beliau, keharmonian yang dinikmati Sarawak hari ini merupakan hasil hubungan erat masyarakat majmuk yang sekian lama hidup dalam suasana aman dan saling menghormati, sekali gus menjadi kekuatan utama negeri ini.
“Atas sebab itu, sambutan Hari Sarawak tidak akan lengkap tanpa majlis seperti ini yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai agama untuk bersama-sama menzahirkan rasa syukur.
“Kita berhimpun bukan sebagai komuniti agama yang berasingan, tetapi sebagai satu keluarga besar Sarawak yang menjunjung semangat Segulai Sejalai, bergerak maju bersama dan berkongsi kemakmuran bumi yang kita cintai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa agama terus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni kerana setiap agama berkongsi nilai sejagat seperti kasih sayang, keadilan, toleransi dan saling menghormati yang menjadi asas kepada keamanan serta keharmonian Sarawak.
Hadir sama Timbalan Menteri Bertanggungjawab bagi Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain, Datuk Dr Penguang Manggil, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak, Dato Georgina Apphia Ngau serta tetamu lain. – EDISI UKAS