'Gelombang' Kreativiti Menerusi UKAS TikTok Challenge Jadi Medium Serlah Aspirasi Anak Sarawak
KUCHING: 'Gelombang' kreativiti anak Sarawak yang dicetuskan menerusi pertandingan UKAS TikTok Challenge 2.0: Inspirasi Anak Sarawak bukan sahaja menyerlahkan keunikan negeri ini, malah menjadi medium komunikasi dua hala yang memperkukuh pemahaman rakyat terhadap pembangunan, dasar dan aspirasi Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penglibatan yang dibuka kepada sekolah dan orang awam seluruh Sarawak menonjolkan lagi komunikasi dua hala mengenai pemahaman rakyatnya terhadap dasar baharu, ekonomi, pembangunan dan inisiatif-inisiatif penting yang dilancarkan oleh Kerajaan Sarawak.
“Sementara kita mendapat pembangunan fizikal yang berbagai daripada Lundu hingga ke Lawas, seperti lapangan terbang baharu, AirBorneo, pengambilalihan Affin Bank, pelbagai projek jalan raya, melibatkan 21 jambatan utama dan lebih 100 jambatan luar bandar, dan sebagainya.
“Pada masa yang sama, peranan kami ialah untuk merapatkan jurang informasi antara kerajaan dan rakyat dan kami tidak mahu komunikasi itu hanya bersifat sehala kerana kami juga ingin mengetahui selera, cita rasa dan isi hati masyarakat supaya setiap rancangan dan polisi kerajaan benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video TikTok Challenge 2.0 2026, di Pustaka Negeri Sarawak, di sini pada Jumaat.
Di samping itu, Datuk Abdullah berkata, penganjuran pertandingan seumpama itu mengetengahkan sudut positif platform media sosial termasuk TikTok untuk menyampaikan maklumat sahih dan tepat.
“Kadang-kadang, di situlah kita melihat sisi buruk media sosial seperti buli siber, penipuan dan pelbagai gejala negatif yang lain namun, pada masa yang sama, kita juga melihat sisi yang lebih cerah dan positif media sosial, yang mengetengahkan nilai-nilai kemanusiaan, mempromosikan budaya, memupuk semangat setia kawan, dan sebagainya,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan penganjuran pertandingan berkenaan pada masa hadapan, Datuk Abdullah turut mengumumkan peruntukan dana berjumlah RM10,000 kepada pihak Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) untuk menganjur pertandingan yang sama bagi Hari Malaysia yang akan datang.
Hadir sama, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli, Pengurus Komunikasi Korporat Bintulu Port Holdings Berhad Abdullah Razak Osman, Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy Marconi Madai, Pengurus Perhubungan Strategik Affin Bank Sarawak Nur Aalyya Irena Dusit dan Bendahari Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak Berhad Mohd Rushairy Abu Bakar. -EDISI UKAS