Naik Taraf Gelanggang Futsal Kampung Seberang Siap Sepenuhnya
SEBUYAU: Penduduk Kampung Seberang kini menikmati kemudahan sukan yang lebih selesa dan berkualiti apabila Projek Khas Perdana Menteri (PRISMA 2025) bagi menaik taraf Gelanggang Futsal Kampung Seberang berjaya disiapkan mengikut jadual.
Projek bernilai RM95,729.80 itu telah diserahkan menerusi satu lawatan serahan tapak siap yang diadakan pada Jumaat, sekali gus menandakan kemudahan tersebut sedia digunakan oleh masyarakat setempat.
Projek berkenaan dilaksanakan dalam tempoh 16 minggu, bermula pada 30 Mac 2026 dan siap sepenuhnya pada 20 Julai 2026.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan semua kerja pembinaan disempurnakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebelum kemudahan diserahkan secara rasmi kepada penerima projek.
Kemudahan gelanggang futsal yang telah dinaik taraf itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Seberang, khususnya golongan belia, dengan menyediakan ruang yang lebih selamat, kondusif dan berkualiti bagi aktiviti sukan, riadah serta program kemasyarakatan.
Pelaksanaan projek di bawah PRISMA 2025 mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan kemudahan asas komuniti luar bandar, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan masyarakat dan menyokong pembangunan belia.
Dalam lawatan tersebut, Ketua Masyarakat Kampung Seberang, Wan Alwie Wan Mashor, yang mewakili penerima projek, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan semua agensi terlibat atas kejayaan menyiapkan projek berkenaan.
Beliau berharap kemudahan yang dinaik taraf itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat aktiviti sukan, riadah dan kemasyarakatan yang mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Penolong Jurutera SDO Wan Kasyfurrahman dan Michelle Cyrill. -EDISI UKAS