Festival Kesenian & Warisan Batang Sadong 2.0 Satukan Komuniti, Perkasa Seni Budaya Tempatan
SIMUNJAN: Festival Kesenian dan Warisan Batang Sadong Versi 2.0 2026 kembali menjadi pentas memperkukuh identiti budaya masyarakat apabila menghimpunkan pelbagai elemen kesenian, warisan dan penglibatan komuniti dalam usaha memastikan khazanah tempatan terus lestari merentasi generasi.
Berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Padang Sentral Simunjan, festival anjuran Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS) itu bukan sahaja mengetengahkan kekayaan seni dan budaya Batang Sadong, malah berfungsi sebagai platform memperkasa penggiat warisan serta merancakkan ekonomi komuniti melalui penyertaan usahawan tempatan.
Pengerusi PERKAJAS, Abdul Lattif Poli, berkata penganjuran edisi kedua festival berkenaan tampil dengan pengisian yang lebih pelbagai bagi memberi peluang kepada penggiat seni dan warisan menonjolkan kreativiti serta keunikan budaya masyarakat setempat.
Menurutnya, festival itu menampilkan persembahan lagu dalam pelbagai dialek etnik Sarawak, tarian tradisional, pameran kebudayaan dan gerai jualan yang mempromosikan produk tempatan.
"Selain itu, kita turut menganjurkan pelbagai pertandingan dan sukan rakyat yang bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menerapkan nilai ilmu, kemahiran serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Jumaat.
Beliau berkata, penglibatan golongan belia turut menjadi fokus utama melalui penyertaan mereka dalam pengurusan persatuan, pengendalian aktiviti, operasi gerai jualan dan pameran serta pertandingan berteraskan warisan tempatan.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan generasi muda bukan sekadar menjadi penonton, sebaliknya berperanan sebagai pewaris yang akan meneruskan usaha memelihara dan mengembangkan seni serta budaya masyarakat.
Festival berkenaan turut menghimpunkan kira-kira 85 peniaga dari pelbagai bahagian di Sarawak dan Sabah, sekali gus membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali kepelbagaian produk tempatan serta hasil kreatif yang dihasilkan oleh usahawan dari kedua-dua wilayah.
"Penglibatan peniaga dari Sarawak dan Sabah memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri kepelbagaian produk dan hasil tempatan yang dipamerkan sepanjang festival ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Lattif berkata festival tersebut menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung melalui gabungan persembahan kebudayaan, pameran warisan, pertandingan serta pelbagai aktiviti interaktif yang mampu meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap seni dan budaya tempatan.
Beliau berharap Festival Kesenian dan Warisan Batang Sadong dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, malah menjadi wadah memperkenalkan keunikan warisan Batang Sadong kepada generasi muda serta pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
Menurutnya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan khazanah seni dan budaya tempatan terus dipelihara, diwarisi dan kekal relevan sebagai sebahagian daripada identiti Sarawak dalam arus pembangunan masa kini. -EDISI UKAS