40 Tahun Samarahan Diraikan dengan Majlis Kesyukuran
KOTA SAMARAHAN: Empat dekad pembangunan dan kemajuan Bahagian Samarahan diraikan menerusi penganjuran Majlis Kesyukuran Sempena 40 Tahun Bahagian Samarahan di Masjid Al-Muttaqin, di sini, pada Khamis.
Majlis anjuran Pejabat Residen Bahagian Samarahan itu diadakan sebagai tanda kesyukuran atas segala pencapaian dan kemakmuran yang telah dikecapi bahagian tersebut sejak penubuhannya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang diiringi Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang turut hadir memeriahkan majlis.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin yang dipimpin Pegawai Hal Ehwal Islam (Imam Bahagian/Penolong Pegawai) Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Anwar Musadad Muhammad Tajuddin.
Program diteruskan dengan alunan zikir marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Samarahan yang dipimpin Imam Masjid Darul Salam Kampung Tanjung Bundong, Akil Sulaiman, sebelum diakhiri dengan bacaan doa kesyukuran dan jamuan makan malam.-EDISI UKAS