Dari Perahu ke Pentas Digital, UKAS TikTok Challenge 2.0 Cetus Gelombang Baharu Anak Sarawak Berkongsi Kisah Negeri
KUCHING: UKAS TikTok Challenge 2.0 bukan sekadar pertandingan menghasilkan kandungan digital, sebaliknya menjadi platform yang menyatukan suara rakyat pelbagai latar belakang untuk menceritakan kisah Sarawak daripada perspektif mereka sendiri – daripada kemajuan pembangunan, keharmonian masyarakat majmuk hinggalah kehidupan di pedalaman.
Keunikan itu terserlah menerusi perkongsian peserta yang membuktikan setiap video dihasilkan bukan sekadar mengejar tontonan, tetapi membawa mesej yang mampu menyemai rasa bangga terhadap negeri ini.
Bagi guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Bintawa, Chan Sung Zee, keindahan budaya dan keharmonian masyarakat menjadi sumber inspirasi utama dalam penghasilan videonya.
Menurut beliau, Sarawak mempunyai terlalu banyak keunikan yang wajar diketengahkan kepada dunia, termasuk pembangunan pesat yang sedang dinikmati negeri ini.
"Sarawak ialah negeri yang membanggakan kita semua. Kita mempunyai identiti sendiri seperti AirBorneo, mercu tanda ikonik seperti Jambatan Batang Lupar 1 dan pelbagai budaya yang hidup dalam suasana harmoni. Perpaduan itulah kekuatan sebenar Sarawak," katanya.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis, Chai Zi Xin, memilih untuk mengetengahkan kepelbagaian etnik sebagai tarikan utama Sarawak.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya
berasa malu dengan kepelbagaian kaum, sebaliknya menjadikannya sebagai identiti yang perlu dibanggakan.
Beliau turut berkongsi bahawa antara babak yang paling bermakna dalam videonya ialah peluang memperagakan pelbagai pakaian tradisional yang mencerminkan kekayaan warisan budaya Sarawak.
Bagi tenaga pengajar Kolej Vokasional Miri, Abdul Wafi Nasip, penyertaan bersama pelajarnya dalam kategori pelancongan lahir daripada hasrat memperkenalkan destinasi menarik di sekitar Miri yang sering terlepas daripada perhatian.
Beliau berkata, kebanyakan pelajarnya tidak berpeluang melancong ke destinasi yang jauh, justeru mereka memilih untuk mempromosikan keindahan kawasan sendiri.
"Kami mahu orang ramai, khususnya anak Sarawak, menghargai apa yang kita miliki terlebih dahulu sebelum mencari keindahan di tempat lain. Budaya, makanan dan destinasi tempatan ialah aset yang perlu kita banggakan sebelum dipromosikan ke peringkat lebih luas," katanya.
Menurut beliau, sekiranya diberi peluang menyertai pertandingan pada masa hadapan, lebih ramai pelajar daripada pelbagai bidang di kolej itu akan dilibatkan bagi menghasilkan kandungan yang lebih kreatif dan pelbagai.
Sementara itu, guru SJK Chung Hua Sejijak, Liew Kok Hui dan Jong Chiat Ying, berjaya menyiapkan video bersama murid-murid Tahun Enam dalam tempoh hanya sehari selepas cuti Gawai.
Mereka berkata, penyertaan tersebut bukan sahaja menjadi kenangan terakhir murid sebelum menamatkan persekolahan rendah, malah memberi peluang kepada mereka menampilkan identiti masyarakat berbilang kaum melalui pakaian tradisional.
Video yang dihasilkan turut mengetengahkan kemajuan pembangunan Sarawak termasuk mercu tanda ikonik, PETROS dan aspirasi kepimpinan negeri yang menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Menurut mereka, pertandingan seperti ini turut membuka ruang kepada murid menguasai kemahiran teknologi digital selain memupuk semangat cintakan negeri dan memahami perkembangan Sarawak dengan lebih mendalam.
Dalam pada itu, kisah paling menyentuh perhatian hadir daripada guru Sekolah Kebangsaa (SK) Rumah Goyang, Suai, Mohamad Nazri Mohamad Salim, yang sanggup meredah hujan serta menaiki perahu untuk menjalani penggambaran bersama murid di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran logistik, semangat untuk memperkenalkan realiti kehidupan sekolah luar bandar tidak pernah luntur.
"Kami mahu orang tahu sekolah kami benar-benar wujud. Murid kami masih menggunakan perahu untuk ke sekolah dan itu adalah realiti yang ingin kami kongsikan.
"Pada masa sama, kami mahu menunjukkan bahawa walaupun berada di pedalaman, murid-murid tetap mempunyai impian untuk berjaya dan menikmati peluang yang sama seperti anak-anak di bandar," katanya.
Beliau berharap penyertaan pada edisi akan datang dapat memfokuskan pula kepada pencapaian murid sebagai bukti bahawa kekangan geografi bukan penghalang untuk melahirkan generasi cemerlang.
Keseluruhannya, UKAS TikTok Challenge 2.0 membuktikan platform media sosial mampu dimanfaatkan sebagai medium memperkukuh identiti negeri, memupuk semangat perpaduan serta mengetengahkan kisah-kisah autentik yang lahir daripada pengalaman sebenar rakyat Sarawak.
Melalui kreativiti peserta daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, pertandingan ini turut memperlihatkan bagaimana kandungan digital boleh menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan kisah pembangunan, warisan budaya dan aspirasi masa depan Sarawak. -EDISI UKAS