UKAS TikTok Challenge 2.0 Cungkil Kreativiti & Budaya Kandungan Positif
KUCHING: Media sosial kini bukan lagi sekadar platform hiburan, sebaliknya berkembang menjadi medium komunikasi dan penyampaian maklumat yang berkesan serta berpengaruh dalam membentuk pemikiran masyarakat khususnya generasi muda.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, platform seperti UKAS TikTok Challenge 2.0 membuka ruang kepada penyampaian mesej secara pantas, kreatif dan mampu menjangkau audien yang lebih luas dalam tempoh singkat.
Menurutnya, penganjuran UKAS TikTok Challenge 2.0 juga berperanan membudayakan penghasilan kandungan digital yang positif, kreatif dan berkualiti bagi memperkukuh penyampaian maklumat kepada masyarakat.
“Atas sebab itu, UKAS menganjurkan pertandingan ini bukan semata-mata untuk mencari pemenang atau menghasilkan video yang terbaik, tetapi juga untuk membina budaya penghasilan kandungan digital yang positif.
“Kita melihat media sosial hari ini dipenuhi dengan pelbagai jenis kandungan, namun melalui pertandingan ini, kita mahu peserta menghasilkan idea-idea yang kreatif, positif, berkualiti dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video TikTok Challenge 2.0 2026, di Pustaka Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Jelasnya lagi, tema ‘Inspirasi Anak Sarawak’ dipilih memandangkan setiap anak Sarawak mempunyai kisah yang mampu memberi inspirasi kepada penonton, sama ada dari sudut kejayaan, perpaduan, warisan budaya, inovasi mahupun semangat cintakan negeri.
Mengulas mengenai penyertaan pada penganjuran kali kedua pertandingan berkenaan, Awang Putrayusrie mendedahkan ianya mencatat peningkatan daripada hanya 52 penyertaan pada tahun lalu kepada 128 penyertaan iaitu meningkat sebanyak 76 penyertaan. -EDISI UKAS