Sarawak Kemuka Cadangan Penambahbaikan Dasar Subsidi Diesel, Operasi E-Hailing Kepada Kerajaan Persekutuan
MIRI: Kerajaan Sarawak akan mengemukakan cadangan penambahbaikan berkaitan pelaksanaan subsidi diesel serta operasi perkhidmatan e-hailing dan p-hailing kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan dasar sedia ada lebih mengambil kira keperluan serta keadaan sebenar di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, cadangan tersebut dirumus hasil Sesi Libat Urus Perkhidmatan E-Hailing dan P-Hailing yang menghimpunkan kira-kira 60 pemandu bersama wakil agensi berkaitan bagi membincangkan isu yang menjejaskan operasi harian mereka.
Menurut beliau, walaupun kebanyakan isu yang dibangkitkan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kementerian Pengangkutan Sarawak akan menyelaras semua cadangan sebelum dikemukakan kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk penelitian lanjut.
“Tujuan sesi ini adalah memberi peluang kepada para pemandu mengemukakan soalan secara terus kepada agensi berkaitan, selain mendengar cadangan mereka supaya setiap isu dapat diperjelaskan dan dibawa ke perhatian pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Sesi Libat Urus Perkhidmatan E-Hailing dan P-Hailing di Hotel Imperial, di sini, pada Khamis.
Dato Sri Lee berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah pelaksanaan subsidi diesel di bawah Program BUDI, khususnya melibatkan pemandu e-hailing dan pengusaha pengangkutan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menyediakan perkhidmatan di kawasan luar bandar serta pedalaman.
Jelas beliau, keadaan geografi Sarawak yang luas serta jarak perjalanan yang jauh memerlukan pendekatan dasar yang berbeza berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Ujar beliau lagi, kementeriannya turut membangkitkan perkara tersebut kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan berharap hasil sesi libat urus itu dapat membantu kerajaan menilai semula pelaksanaan subsidi diesel berdasarkan keperluan sebenar pengusaha pengangkutan di Sarawak.
Selain itu, pemandu e-hailing turut mencadangkan supaya kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan bagi kegunaan persendirian dipisahkan daripada kuota yang digunakan untuk operasi e-hailing.
Menurut Dato Sri Lee, cadangan tersebut akan turut dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan satu mekanisme yang lebih bersesuaian dipertimbangkan demi menjaga kebajikan pemandu e-hailing dan p-hailing.
Sesi libat urus itu turut disertai wakil KPDN, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PUSPAKOM, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan peserta.-EDISI UKAS