Majlis Tilawah Al-Quran Bahagian Mukah Semarak Syiar Islam, Cungkil Bakat Qari & Qariah
MUKAH: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Mukah 1448H/2026M menjadi platform penting dalam memperkukuh syiar Islam serta menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran, serta mencungkil bakat qari dan qariah untuk mewakili bahagian itu ke pertandingan peringkat lebih tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr. Juanda Jaya ketika ditemui merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta dan pemenang atas usaha serta komitmen yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.
Beliau berharap para johan akan terus meningkatkan mutu bacaan Al-Quran bagi mengharumkan nama Bahagian Mukah pada pertandingan di peringkat seterusnya.
Menurut Datuk Dr. Juanda, penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar pertandingan membaca Al-Quran, malah menjadi wadah untuk menghayati, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar pertandingan membaca Al-Quran, malah merupakan wadah untuk menghayati, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian demi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan bersatu padu,” katanya.
Dalam majlis tersebut, bagi kategori Qari, Fakhrul Nujaid Khalidi dari Dalat muncul sebagai johan, diikuti Mohamad Nazrin Othman dari Daro sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi Nazarudin Jaraie, juga dari Daro.
Kategori Qariah pula menyaksikan Roziah Ayup dari Dalat dinobatkan sebagai johan, diikuti Alaa’ Ahmad Sayuti dari Mukah sebagai naib johan, sementara Hasipah
Brawi dari Matu meraih tempat ketiga.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah wakil Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Bahagian Mukah Badjuri Bidin, Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah Muhammad Adib Saini, Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi, Temenggong Bahagian Mukah Hendi Suhai dan Pemanca Daerah Matu Mesaleh@Che'Jeni Shahdan.-EDISI UKAS