Pejabat Daerah Lawas Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan Dekati Komuniti
LAWAS: Pejabat Daerah Lawas terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam menerusi pendekatan mendekati rakyat melalui penganjuran Program Pentadbiran Pejabat Daerah Lawas yang menggabungkan Hari Bersama Pelanggan, Program Kesyukuran dan Hari Bersama Komuniti.
Inisiatif tersebut menyediakan ruang kepada masyarakat berurusan secara terus dengan Pejabat Daerah Lawas, di samping menyampaikan pandangan, mengemukakan pertanyaan serta mendapatkan penjelasan berkaitan urusan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan.
Program itu turut memperkukuh kerjasama antara pentadbiran daerah, jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, Program Kesyukuran dimulakan dengan solat Zohor berjemaah dan bacaan doa sebelum diteruskan dengan penyerahan 48 naskhah al-Quran wakaf serta 60 buah buku bacaan agama sebagai usaha memperkasa budaya ilmu dan menyemai penghayatan nilai murni dalam masyarakat.
Sementara itu, Hari Bersama Komuniti menghimpunkan ketua jabatan, pegawai kerajaan, kakitangan serta ketua masyarakat dalam sesi ramah mesra dan jamuan yang menjadi medium mengeratkan hubungan serta kerjasama antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Daerah Lawas dalam mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, di samping memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui pendekatan libat urus secara langsung.-EDISI UKAS