Kefahaman Masyarakat Penting Dalam Usaha Pelihara Warisan Sarawak
KUCHING: Kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap nilai sejarah perlu terus diperkukuh bagi memastikan khazanah warisan Sarawak dapat dipelihara untuk generasi akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha itu penting khususnya dalam mendidik generasi muda mengenai nilai dan kepentingan tapak warisan seperti Gua Niah.
“Warisan yang tidak difahami akhirnya akan hilang. Generasi muda Sarawak yang tidak pernah diberitahu mengenai apa yang diwakili Gua Niah tidak boleh diharapkan untuk melindunginya, apatah lagi berbangga dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datu Dr Rashidah Bolhassan pada Tayangan Perdana Dokumentari ‘The Human Odyssey’ di Auditorium, Muzium Budaya Borneo di sini pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim berkata, televisyen merupakan antara medium berkesan untuk merapatkan jurang pengetahuan masyarakat mengenai sejarah dan warisan negeri.
Justeru, beliau memuji TVS kerana menggunakan platform penyiarannya menerusi ‘The Human Odyssey’ untuk membawa kisah Gua Niah kepada khalayak lebih luas, termasuk mereka yang mungkin tidak berpeluang mengunjungi tapak berkenaan.
Menurutnya, pengiktirafan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2024 bukan sekadar satu pencapaian, sebaliknya pengiktirafan terhadap kepentingan Sarawak dalam sejarah perjalanan manusia.
Beliau berkata, insiden kebakaran di Taman Negara Niah baru-baru ini turut menjadi peringatan bahawa khazanah warisan, biarpun telah bertahan sejak ribuan tahun, tetap terdedah kepada kemusnahan.
Kejadian itu katanya, mengukuhkan lagi tekad untuk melindungi warisan dan sejarah Sarawak, selari dengan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri.
Usaha berkenaan merangkumi pengiktirafan Taman Negara Gunung Mulu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2000, Gua Niah pada 2024 serta Sarawak Delta Geopark pada tahun ini.
Tayangan perdana ‘The Human Odyssey’ turut diadakan menjelang ulang tahun kedua pengiktirafan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 27 Julai.
Turut hadir, Pengerusi Sarawak Media Group, Dato Norhyati Ismail; Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Media Group, Dato Ahmad Shafiee Abdul Yaman; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group, Haji Kushairi Abang dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Anielia Siam. - EDISI UKAS