Kerajaan Sarawak Menerusi GPS Terus Perjuangkan Hak-Hak Di Bawah MA63
SIBU: Perjuangan menuntut semula hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dipimpin Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) meskipun usaha itu bukan sesuatu yang mudah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perjuangan itu perlu diteruskan bagi memastikan hak yang termaktub di bawah MA63 terus dipelihara dan dihormati.
“Perjuangan kita ini merupakan perjuangan yang mesti diteruskan, terutamanya oleh GPS.
“Perkara ini tidak mudah, tetapi GPS yang akan terus memperjuangkan hak kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan mengenai MA63 di hadapan kira-kira 3,000 delegasi sempena Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 2026 di Stadium Tertutup Sibu, pada Ahad.
Beliau mendedahkan, setakat ini Sarawak mengemukakan 25 tuntutan di bawah MA63, dengan sembilan daripadanya berjaya diselesaikan sepenuhnya, satu selesai secara interim, dua mencapai persetujuan dasar tetapi belum dimuktamadkan, sembilan masih dalam rundingan dan empat lagi kekal sebagai perkara yang tidak dibuka untuk rundingan.
“Antara kejayaan utama yang dicapai ialah pelaksanaan Cukai Jualan Negeri sebanyak lima peratus ke atas petroleum yang dieksport, penyerahan kuasa pengagihan gas kepada Kerajaan Sarawak.
“Di samping itu, kita juga berjaya dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 1(2), Perkara 160(2) dan Perkara 161A, selain penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, Sarawak turut berjaya memperoleh kuasa berkaitan perlesenan dan penangkapan ikan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai jabatan teknikal bagi projek di bawah RM50 juta, wakil tetap dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan semula tanah rizab Persekutuan yang tidak dibangunkan serta pindaan Ordinan Buruh Sarawak.
Mengulas empat perkara yang kekal tidak dibuka untuk rundingan, Datuk Sharifah Hasidah berkata, ia membabitkan hak ke atas hasil bumi dalam sempadan laut Sarawak sehingga ke pelantar benua, hak ke atas pelantar benua seperti ditakrifkan dalam Kanun Tanah Sarawak, royalti minyak atau pembayaran tunai petroleum serta kuasa Cukai Jualan Negeri, selain pelaksanaan undang-undang negeri termasuk Kanun Tanah Sarawak.
Mengulangi pendirian kepimpinan negeri, beliau memetik kenyataan Premier Sarawak bahawa Kerajaan Sarawak tidak menuntut sesuatu yang melangkaui peruntukan undang-undang.
“Sarawak tidak menuntut lebih daripada apa yang diperuntukkan. Kita hanya menuntut hak yang sememangnya termaktub di bawah MA63 dan akan terus memperjuangkannya agar ia terus dipelihara dan dihormati,” jelasnya.
Konvensyen berkenaan telah dirasmikan oleh Premier Sarawak merangkap Presiden PBB dan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom serta Setiausaha Agung PBB merangkap Pengerusi Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 2026 Dato Sri Alexander Nanta Linggi. -EDISI UKAS