UNIMAS Dominasi Selangau Raft Safari 2026, Rangkul Tiga Gelaran Juara
SELANGAU: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) muncul pasukan paling menyerlah pada Selangau Raft Safari 2026 bersempena Karnival Selangau 2026, apabila merangkul tiga kejuaraan daripada lima kategori yang dipertandingkan.
Dalam kategori Kerajaan, UNIMAS Aqua Knight Team muncul juara selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 2 jam 32 minit 02 saat, mengatasi VOLSAR RELA Sarawak (2:37:53) di tempat kedua dan PERKESO JJ PASUN (2:56:51) di tempat ketiga.
Dominasi UNIMAS diteruskan dalam kategori Wanita Terbuka apabila UNIMAS Rafter Team muncul juara dengan catatan 2 jam 42 minit 23 saat, diikuti UNIMAS Raftvengers Team (2:45:53) di tempat kedua, manakala Kut Muara 2 menduduki tempat ketiga dengan masa 2:52:06.
UNIMAS turut mengungguli kategori Campuran menerusi UNIMAS Eco Adventure Team yang mencatat masa 2 jam 31 minit 57 saat, mengatasi Kut Muara 3 (2:33:15) dan PPKS Sebintek Mix (2:57:38).
Bagi kategori Lelaki Terbuka, kejuaraan menjadi milik KUT MUARA 1 dengan catatan masa terpantas keseluruhan, iaitu 2 jam 28 minit 45 saat. Tempat kedua dimenangi Kukuh United A (2:36:58), manakala Impian Selangau di tempat ketiga (3:08:33).
Dalam kategori JKKK pula, PPKS Sebintek muncul juara dengan catatan 2 jam 48 minit 29 saat, diikuti JKKK Ulu Dijih (3:00:49) dan JKKK Kampung Sungai Wong Baru Ulu Mukah (3:03:30).
Selangau Raft Safari 2026 anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu itu mencipta rekod baharu apabila menghimpunkan 45 pasukan, sekali gus menjadi penyertaan terbesar sejak acara itu diperkenalkan.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang.