Sarawak Terus Perkukuh Akses Pendidikan Meskipun Sektor Itu Di Bawah Kuasa Persekutuan
LAWAS: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pendidikan terus diperkukuh meskipun bidang itu berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, sebagai usaha melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memacu pembangunan negeri pada masa hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dalam soal pembangunan pendidikan dan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk penyediaan bantuan kewangan, pembangunan infrastruktur serta peluasan akses kepada pendidikan tinggi.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak komited memastikan tiada anak negeri tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya disebabkan kekangan kewangan.
“Kerajaan Sarawak tidak mahu melihat anak-anak negeri tercicir daripada melanjutkan pelajaran hanya kerana kekangan kewangan. Sebab itu kita memperkenalkan pelbagai bantuan termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), biasiswa, bantuan pendidikan dan elaun kepada pelajar yang layak.
“Bagi Kerajaan Sarawak, pendidikan merupakan satu pelaburan jangka panjang yang amat besar kerana melalui pendidikan sahajalah kita dapat melahirkan modal insan berkualiti, berkemahiran dan berdaya saing yang akan menentukan masa depan Sarawak sebagai sebuah negeri maju berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pendidikan FTES dan Karnival Pendidikan MADANI Peringkat Daerah Lawas 2026 di Stadium Tertutup Lawas, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu Kerajaan Sarawak turut memperkukuh pendidikan teknikal dan latihan kemahiran menerusi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), termasuk memperkasakan CENTEXS Lawas sebagai hab latihan yang mampu memenuhi keperluan industri di wilayah utara Sarawak.
Beliau berkata landskap ekonomi negeri kini berkembang ke arah industri berteknologi tinggi, ekonomi hijau, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), justeru generasi muda perlu membuat pilihan bidang pengajian yang selari dengan keperluan pasaran pekerjaan.
“Pilihlah bidang yang mempunyai permintaan tinggi seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perakaunan, semikonduktor dan bidang teknikal kerana inilah kemahiran yang diperlukan bagi memacu pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
“Yakinlah dengan kemampuan diri. Pendidikan mampu mengubah kehidupan. Dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang baik, anak-anak Sarawak mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah memperuntukkan RM160 juta bagi melaksanakan projek pembaikan dan pembinaan baharu kemudahan pendidikan di seluruh Bahagian Limbang termasuk Lawas.
Peruntukan itu akan digunakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif melalui pembinaan bangunan baharu serta menaik taraf kemudahan sekolah sedia ada.
Selain itu, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak kini menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menawarkan kursus berkaitan penyukatan, di samping akan berbincang dengan pengurusan CENTEXS Lawas untuk memperkenalkan kursus baharu yang menepati keperluan industri.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Lawas, Pengiran Kadir Pengiran Budin berkata penganjuran ekspo berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada murid serta lepasan SPM dan STPM mengenai peluang melanjutkan pengajian tinggi, selain menyebarluaskan maklumat berkaitan FTES, biasiswa dan bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Program tersebut menghimpunkan penyertaan pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta rakan strategik yang menyediakan pameran pendidikan, taklimat penajaan, ceramah pendidikan, perkongsian kerjaya dan pelbagai aktiviti bagi membantu pelajar merancang hala tuju pendidikan serta kerjaya mereka.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leornard Doo, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abidin Datuk Pengiran Haji Jawa.