Tilawah Al-Quran Pupuk Penghayatan, Lahir Generasi Berteraskan Kalam Allah
BINTULU: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Bintulu menjadi platform penghayatan sekaligus melahirkan generasi berteraskan kalam Allah dalam usaha memartabatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, Majlis Tilawah Al-Quran perlu terus diperkasakan sebagai wadah melahirkan masyarakat yang menjadikan Al-Quran sebagai pedoman utama.
Menurutnya, program seumpama ini mampu memperkukuh syiar Islam, menyuburkan penghayatan terhadap kalam Allah SWT serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penangguhan yang berlangsung di Masjid Darussalam Kampung Baru Darat, pada Sabtu.
Majlis itu menyaksikan Abang Hakimi Syarizal dinobatkan sebagai johan kategori qari, manakala Aina Yasmyn Natasha muncul johan kategori qariah.
Bagi kategori warga emas, Hanuan Tihi (qari) dan Hamdiah Tihi (qariah) turut mencatat kemenangan dengan markah tertinggi.
Majlis pada tahun ini menghimpunkan seramai 18 peserta terdiri daripada 10 qari dan lapan qariah di mana peserta yang memperoleh markah tertinggi akan mewakili Daerah Bintulu ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 3 Ogos ini di Masjid At-Taqwa, Bintulu.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu Dzhulhadzri Japar Shedik. -EDISI UKAS