Kejohanan Muaythai Jadi Platform Cungkil Bakat Baharu
BINTULU: Penganjuran kejohanan Muaythai di peringkat akar umbi dilihat mampu menjadi platform penting untuk mengenal pasti dan menggilap bakat baharu sebelum mereka diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kejohanan seperti Bintulu Amateur Muaythai Challenge (BAMC) memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai peringkat pengalaman untuk menguji kemampuan, sekali gus meningkatkan mutu sukan itu di Sarawak.
“Ramai peserta yang baru berjinak-jinak dalam Muaythai dapat bertanding mengikut kategori masing-masing.
“Pengalaman seperti ini penting untuk membentuk keyakinan dan meningkatkan prestasi mereka,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Penangguhan BAMC 2026 di Bintulu Paragon Street Mall pada malam Sabtu.
Menururnya, terdapat peserta yang berjaya melangkah sehingga ke peringkat akhir meskipun berasal daripada latar belakang pekerjaan biasa, membuktikan minat, latihan dan komitmen mampu melahirkan atlet berpotensi.
Selain itu, beliau menambah, beberapa atlet Sarawak juga kini berjaya mewakili negeri dan negara di kejohanan antarabangsa, termasuk yang bakal beraksi di Greece, sekali gus membuktikan Muaythai mempunyai prospek cerah sebagai sukan yang mampu melahirkan atlet bertaraf dunia.
Pada majlis itu, Hendrick Mcleonnuel Hayato dari Rentap Muaythai Club dinobatkan sebagai Junior Best Boxer, manakala Danial Aqil Zambri dari Kelab PS Muaythai menerima anugerah Senior Best Boxer.
Anugerah Female Best Boxer pula menjadi milik Liana Thong Rah Man dari SS Fighter Muaythai Gym, sementara Danny Huang dari Warmonger Training Academy dinobatkan sebagai Elite Best Boxer. -EDISI UKAS