Perancangan Tersusun Pacu Kejayaan Pembangunan Sarawak
SIBU: Perancangan yang tersusun menjadi faktor utama di sebalik kejayaan pembangunan Sarawak sehingga mencapai kedudukan yang dikecapi hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, setiap pentadbiran memerlukan perancangan strategik yang jelas kerana kegagalan merancang akan menyebabkan sesuatu dasar atau agenda pembangunan sukar dilaksanakan.
“Sesuatu pentadbiran memerlukan perancangan yang berstruktur. Kalau kita tidak merancang, kita pasti gagal,” katanya ketika menyampaikan penerangan mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 2026 di Stadium Tertutup Sibu, pada Ahad.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menambah, keputusan Sarawak keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018 dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membolehkan Sarawak mentadbir serta menguruskan hasil ekonominya dengan lebih berdikari.
Menurutnya, hasil negeri meningkat daripada kira-kira RM7 bilion kepada antara RM13 bilion hingga RM14 bilion susulan pelaksanaan beberapa dasar strategik, termasuk Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum serta agenda Ekonomi Digital yang diperkenalkan sejak 2017.
“Pendapatan yang kukuh ini membolehkan kita menyalurkan bantuan bilion ringgit kepada rakyat yang terjejas semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2021,” ujarnya.
Datuk Abdullah berkata, perjuangan mempertahankan hak Sarawak turut diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Antaranya ialah bantuan RM1,000 kepada setiap bayi yang dilahirkan di Sarawak, penubuhan Sekolah Antarabangsa milik kerajaan Sarawak yang menawarkan pendidikan percuma serta bantuan kepada anak Sarawak bagi menyelesaikan tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dalam pada itu, beliau berkata, jentera PBB perlu memahami cabaran mentadbir Sarawak yang mempunyai keluasan geografi setara Semenanjung Malaysia.
Beliau turut menyeru cawangan dan ranting parti di seluruh 887 daerah mengundi serta 1,981 pusat mengundi supaya bersiap siaga mengemas kini data pengundi, termasuk pengundi muda berusia 18 tahun di seluruh negeri.
“Falsafah kita adalah ‘Jaga Sarawak’ dan jaga kawasan masing-masing. Pemimpin dan jentera mesti faham kenapa kita perlu utamakan Sarawak dahulu demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya lagi.-EDISI UKAS