Liga Kapit Jadi Platform Cungkil Bakat, Perkukuh Bola Sepak Tempatan
KAPIT: Liga Kapit terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan bola sepak di Bahagian Kapit apabila menghimpunkan empat pasukan tempatan sebagai platform mencungkil bakat serta memupuk semangat kesukanan.
Majlis Penangguhan Liga Kapit yang berlangsung di Stadium Terbuka Kapit pada Ahad telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai.
Kejohanan itu disertai Sky FC, ONAR FC, AAR FC dan PDRM FC yang bersaing bagi merebut kejuaraan, di samping memberi peluang kepada pemain tempatan menonjolkan potensi mereka.
Dalam ucapannya, Nicholas berharap pasukan yang dipilih mewakili Kapit dapat mempamerkan prestasi terbaik sekali gus mengharumkan nama bahagian itu pada saingan Liga Premier yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Kapit FA mampu bersaing dengan cemerlang dan membawa nama Bahagian Kapit ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada ONAR FC atas kejayaan muncul juara Liga Kapit serta merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian atas komitmen dan semangat kesukanan yang dipamerkan sepanjang kejohanan.
Menurutnya, penganjuran liga seumpama itu wajar diteruskan bagi memperkukuh pembangunan bola sepak di Bahagian Kapit, di samping melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang berpotensi mewakili negeri dan negara. -EDISI UKAS