550 Pokok Spesies Asli Ditanam Di Kawasan Hutan Simpan Sabal
SIMUNJAN: Usaha memulihkan kawasan hutan terosot di Hutan Simpan Sabal diperkukuh menerusi penanaman 550 anak pokok spesies asli bernilai tinggi sebagai sebahagian daripada inisiatif penghijauan dan pemuliharaan sumber hutan Sarawak.
Program penanaman pokok anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kakitangan Audit Dalam, Jabatan Premier Sarawak itu dilaksanakan menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyokong usaha berterusan Kempen Penghijauan Sarawak.
Seramai 80 pegawai dan kakitangan Unit Audit Dalam, Jabatan Premier Sarawak bersama warga JHS serta komuniti setempat menyertai program berkenaan di Hutan Simpan Sabal di sini pada Ahad.
Daripada keseluruhan pokok yang ditanam, sebanyak 100 merupakan anak pokok Resak Abang Johari (Vatica abang-joharii), spesies dipterokarpa asli yang dinamakan sempena Premier Sarawak.
Spesies itu merupakan antara penemuan botani unik Sarawak yang mencerminkan komitmen negeri dalam memelihara biodiversiti hutan asli.
Selain Resak Abang Johari, spesies asli lain yang ditanam ialah Meranti Pitis (Shorea ovata), Meranti Putih (Shorea cordata) dan Meranti Tembaga (Shorea leprosula).
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada program Pemulihan Landskap Hutan atau Forest Landscape Restoration (FLR) JHS yang memberi tumpuan kepada pemulihan landskap hutan terosot menerusi penanaman spesies pokok asli.
Pada masa sama, pelaksanaannya turut memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi korporat dan komuniti setempat dalam usaha pemuliharaan serta pengurusan sumber hutan secara mampan.
Sementara itu, wakil JHS, Rohanie Bohan merakamkan penghargaan kepada Unit Audit Dalam, Jabatan Premier Sarawak kerana memilih pemulihan hutan sebagai inisiatif CSR mereka.
Menurutnya, penglibatan tersebut memberi sumbangan kepada usaha pemuliharaan serta pengurusan sumber hutan Sarawak secara mampan. -EDISI UKAS