Lebih 3,000 Perwakilan Hadiri Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 2026 di Sibu
SIBU: Lebih 3,000 perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari seluruh wilayah tengah membanjiri Stadium Tertutup Sibu bagi menghadiri Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 2026, pada Ahad.
Kesesakan trafik luar biasa dikesan seawal jam 6 pagi berikutan kebanjiran kenderaan persendirian dan bas yang membawa rombongan ahli dari pelbagai kawasan berhampiran.
Kawasan pendaftaran perwakilan mula dipenuhi peserta seawal jam 7.30 pagi, dengan sebahagian besar mereka mengenakan pakaian bertemakan warna merah serta busana tradisional Sarawak.
Sebelum acara kemuncak bermula, para perwakilan terlebih dahulu mengikuti sesi penerangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Majlis dimeriahkan lagi dengan ketibaan Premier Sarawak yang juga Yang Dipertua PBB, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada jam 10.30 pagi.
Atur cara rasmi disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan March PBB, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan, tayangan montaj, amanat Premier Sarawak serta gimik perasmian.
Konvensyen khas ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ahli-ahli Majlis Tertinggi PBB, para perwakilan serta ahli PBB daripada 24 cawangan Zon Tengah.