Pendidikan Awal Perkukuh Pembangunan Modal Insan Berkualiti
BINTULU: Pendidikan awal kanak-kanak yang menekankan budaya mencintai ilmu menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berpengetahuan, berfikiran kritis dan berdaya saing bagi menyokong pembangunan modal insan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, usaha membentuk generasi berkualiti perlu bermula sejak usia awal melalui penerapan minat terhadap pembelajaran, amalan membaca serta sikap ingin tahu yang berterusan.
Beliau berkata, kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana minat untuk belajar berjaya disemai dalam diri setiap kanak-kanak.
“Yang lebih penting bukanlah berapa banyak yang anak-anak hafal atau setinggi mana markah yang mereka peroleh, tetapi bagaimana kita memupuk minat mereka untuk terus belajar, membaca dan bertanya,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Generasi Cilik Perpaduan: Sukaneka Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu 2026 di Dewan Suarah Bintulu, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan menggalakkan kanak-kanak membaca, berbual dan bertanya mengenai perkara baharu bagi membentuk keyakinan diri serta menjadikan pembelajaran sebagai amalan sepanjang hayat.
Menurutnya, program seperti Generasi Cilik Perpaduan bukan sahaja menyokong perkembangan intelektual, malah memperkukuh pembangunan sahsiah dan kemahiran sosial kanak-kanak melalui aktiviti yang menggalakkan kerjasama, komunikasi serta keberanian mencuba dalam suasana yang menyeronokkan.
Beliau berharap kerjasama erat antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), guru, ibu bapa dan komuniti akan terus diperkukuh bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPNIN, warga pendidik, ibu bapa serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan. -EDISI UKAS