Pertandingan Ragbi Asajaya 10s Platform Cungkil Bakat, Perkukuh Pembangunan Ragbi Sarawak
ASAJAYA: Penganjuran sulung Asajaya 10s Rugby Tournament 2026 berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan ragbi di peringkat akar umbi menerusi penyertaan 12 pasukan dari seluruh Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan seumpama itu bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah berperanan melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan kejohanan yang berlangsung di Padang Ragbi SMK Asajaya, di sini pada Ahad.
Kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh Kelab Ragbi Asajaya itu turut menjadi platform memperluaskan pembangunan sukan ragbi dalam kalangan komuniti, selain mengukuhkan kerjasama antara persatuan sukan, pentadbiran daerah, agensi kerajaan dan masyarakat setempat dalam membangunkan potensi belia menerusi sukan.
Di samping itu, penganjuran kejohanan tersebut turut membantu memperkenalkan Daerah Asajaya sebagai lokasi penganjuran acara sukan yang berupaya menarik penyertaan dari seluruh negeri sekali gus menyokong perkembangan pelancongan sukan di Sarawak.
Dalam aksi final yang berlangsung penuh sengit, KRFC Blackcats muncul juara kategori Champion Cup selepas menewaskan saingan daripada pasukan lain untuk membawa pulang piala, pingat serta hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.
Wolfpack menamatkan saingan sebagai naib juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala Asajaya A dan Saribas Phoenix Rugby Club masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat serta menerima RM500 setiap pasukan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zainudin Bidin, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Asajaya Awang Kamarudin Awang Japut, Presiden Kelab Ragbi Asajaya Muhd Izuan Jais serta Wakil Presiden Sarawak Rugby Union (SRU) Ahmad Yusuf Moksen. -EDISI UKAS