Lavinia Kekalkan Dominasi, Ethan Raih Gelaran Perseorangan Lelaki
KUCHING: Prestasi cemerlang Lavinia Kho Jia Jie dalam siri SSC-ABAS U21 Roll-Off terus sukar digugat apabila beliau berjaya mempertahankan gelaran Perseorangan Perempuan pada aksi berlangsung dari 25 dan 26 Julai di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa.
Kejohanan bulanan roll-off ini turut menyaksikan Ethan Damien Goh Chen Ming muncul juara Perseorangan Lelaki pada SSC-ABAS U21 July Roll-Off 2026.
Berlangsung selama dua hari, kejohanan ini menghimpunkan bakat-bakat muda boling Sarawak untuk bertanding dalam acara Perseorangan dan bahagian mengikut peringkat umur sebagai sebahagian daripada program pembangunan atlet negeri yang berterusan.
Lavinia sekali lagi berada pada kelasnya yang tersendiri apabila menguasai gelaran Perseorangan Perempuan menerusi kelebihan jatuhan pin keseluruhan sebanyak 154 pin di hadapan naib juara, Claudia Kumang Jakson, manakala Shareen Faith De Rozario menduduki tempat ketiga.
Kemenangan ini melanjutkan rekod kemenangan luar biasa Lavinia dalam siri SSC-ABAS U21 Roll-Off, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang pemain boling muda terkemuka di Sarawak ketika ini.
Dalam acara Perseorangan Lelaki, Ethan menampilkan persembahan yang tidak kurang hebatnya apabila mendahului 186 pin keseluruhan di hadapan naib juara, Muhammad Amzar Ahmad Syukri sambil Eldred Kho Yek Zhen melengkapkan senarai pemenang di tempat ketiga.
Ethan turut memenangi gelaran Lelaki Bawah 16 Tahun (U16), manakala Muhammad Amzar menjuarai Kategori Kecil Lelaki Bawah 13 Tahun (U13), sekali gus menyerlahkan jurang bakat yang kian berkembang menerusi program pembangunan belia SSC-ABAS.
Sementara itu, bagi keputusan Kategori Kecil (Sub-Division), Lavinia mendominasi kategori Perempuan U21 dengan menewaskan Claudia Kumang Jakson di tempat kedua dan Adriana Ramiza Ramul tempat ketiga.
Manakala Eldred Kho turut memenangi kategori Lelaki U21, menewaskan Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan di tempat kedua sambil Muhammad Akmal Hakim Rushdi tempat ketiga.
Kategori Lelaki U16 pula menyaksikan Ethan Damien Goh Chen Ming muncul pemenang dengan menyingkirkan Muhammad Qaish Rayyan Mohamad Sabri dan Abdul Muiz Abdul Wahab di tempat kedua dan ketiga.
Shareen Faith De Rozario pula dinobatkan johan kategori Perempuan U16, Nur Qaseh Batrisyia Mohammad Nizam tempat kedua dan Claudia Scarlet Chillter tempat ketiga.
Kategori Lelaki dan Perempuan U13 tidak kurang menariknya menyaksikan beberapa pemain yang diletakkan sasaran melakar kemenangan.
Muhammad Amzar Ahmad Syukri mengesahkan kemenangan bagi kategori lelaki selepas menyingkirkan cabaran Lee Tee Ker dan Tommy Kee Yong Hong di tempat kedua dan ketiga.
Nur Fathi Fatihah Mohammad Zakry pula memenangi kategori Perempuan U13 selepas menyingkirkan Maihanna Mazuan dan Joyce Lidwina Wilfred Vincent di tempat kedua dan ketiga.
Jonas Yap Zao Min pula memenangi kategori Lelaki U11, Edward Choo Jia Jing di tempat kedua dan Alfred Phang Kang Yee di tempat ketiga.
Manakala Isabel Mok Yi Nuo memenangi kategori Perempuan U11 dan Eleanor Rainner Harman di tempat kedua.
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS) Shaifulbahri Shukri, Naib Presiden ABAS Robert Lu Nam Min dan wakil barisan jurulatih SSC dan ABAS, Bong Kihow.
Siri SSC-ABAS U21 Roll-Off terus menjadi platform penting dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat-bakat muda boling di Sarawak.
Kejohanan bulanan ini menawarkan pendedahan kompetitif yang berharga buat para atlet, di samping memantau perkembangan mereka sebagai persediaan menghadapi kejohanan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan. - EDISI UKAS