UKAS Perluas Komunikasi Dua Hala, Salur Maklumat Tepat Kepada Masyarakat
MIRI: Program Randau Komuniti anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menjadi platform memperkukuh serta memperluas komunikasi dua hala antara agensi kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam penyampaian maklumat yang sahih, tepat dan terkini.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, program berkenaan memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi, berkongsi maklumat serta mendapatkan penjelasan berkaitan pelbagai isu semasa termasuk penipuan dalam talian, kesihatan, pendidikan dan inisiatif kerajaan.
Menurutnya, masyarakat digalakkan memanfaatkan saluran rasmi yang disediakan oleh agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta mengemukakan aduan, pertanyaan dan cadangan.
“UKAS memikul tanggungjawab untuk memastikan maklumat berkaitan dasar, program, perkhidmatan, inisiatif dan bantuan kerajaan kepada masyarakat disampaikan dengan jelas, tepat dan terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Randau Komuniti UKAS Peringkat Bahagian Miri 2026 di Wisma Pelita, Miri, pada Sabtu.
Jelasnya, masyarakat digalakkan untuk mengikuti platform rasmi UKAS bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada rakyat.
Awang Putrayusrie berkata, program tersebut turut memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada agensi berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain.
“Masyarakat perlu sentiasa berwaspada terhadap risiko penipuan yang semakin berleluasa dalam dunia digital, selain mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa.
“Isu scam memang sentiasa berlaku dan tidak akan selesai. Dalam dunia digital masa kini, risiko itu memang ada. Jadi kita perlu sentiasa diingatkan dan diberi kesedaran supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan pelajar supaya memanfaatkan pelbagai peluang pendidikan dan inisiatif yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi membangunkan potensi diri serta merancang masa depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Awang Putrayusrie memaklumkan pejabat UKAS Miri kini beroperasi di tingkat 11, Wisma Pelita di sini.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan masyarakat, pelajar serta ketua jabatan di sini untuk mendapatkan maklumat berkaitan program dan inisiatif kerajaan di pejabat UKAS.
Pada masa sama, beliau menyeru kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan UKAS dalam memperluas penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat melalui pelbagai platform komunikasi.
Antara pengisian Randau Komuniti ialah taklimat mengenai Isu Scam oleh PDRM, Depresi (Jabatan Kesihatan), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Turut dibuka reruai pameran Dadah Kebangsaan (AADK) serta agensi dan organisasi berkaitan, saringan kesihatan serta kuiz untuk peserta.
Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Subis, Ananie Sharon Ricky Simpie, Ketua Penolong Pengarah (Seksyen Pengurusan) UKAS, Anwar Hanafi Ardimansyah, Pegawai UKAS Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan, ketua jabatan dan ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS