BIKF Terus Kukuhkan Nama Bintulu Di Persada Antarabangsa
BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menerusi penyertaan peserta dari pelbagai negara serta kerjasama erat pelbagai pihak dalam menjayakan penganjurannya.
Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Mohd Ansari Mohd Syed Ahmad berkata, sepanjang hampir dua dekad penganjurannya, BIKF bukan sekadar menjadi platform menghimpunkan komuniti layang-layang dunia, malah berjaya mempromosikan Bintulu sebagai destinasi pelancongan dan mengukuhkan hubungan persahabatan antara peserta pelbagai negara.
Beliau berkata kejayaan edisi ke-19 BIKF tahun ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak meskipun penganjur berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos perjalanan serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
“BIKF bukan sekadar sebuah festival. Ia merupakan platform yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai negara melalui seni permainan layang-layang, di samping memperkenalkan Bintulu kepada dunia.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, semangat pemain layang-layang dan sokongan semua pihak memastikan festival ini terus berjaya dianjurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Perpisahan BIKF Ke-19 2026 di Hotel Kemena, Bintulu pada Ahad.
Menurutnya, komitmen pemain layang-layang, penaja, sukarelawan, agensi kerajaan dan rakan strategik menjadi antara faktor utama yang memastikan BIKF terus berkembang sebagai acara ikonik yang memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Beliau memberitahu, BDA komited untuk terus memperkasakan penganjuran BIKF agar festival itu kekal relevan serta menjadi antara acara pelancongan utama Sarawak yang mampu menarik lebih ramai penyertaan dan kehadiran pelawat dari dalam serta luar negara.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA merangkap Pengerusi Bersama BIKF Ke-19 2026, Datu Muhamad Yakup Kari, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), Dato Allan Keripin, Timbalan Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah, Pengurus (Keselamatan) yang mewakili Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA), Jefri Hashim serta wakil Peter Lynn Kite dari New Zealand, Craig Hansen.-EDISI UKAS