Karnival Selangau Platform Perkasa Ekonomi, Lestarikan Warisan Budaya
SELANGAU: Karnival Selangau 2026 bukan sekadar acara tahunan yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, malah menjadi platform penting dalam memperkasa ekonomi komuniti setempat serta melestarikan warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, penganjuran karnival berkenaan berjaya membuka ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, sekali gus menjana pendapatan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menurut beliau, kejayaan Karnival Selangau 2026 jelas terserlah menerusi pelbagai pengisian yang telah dianjurkan sepanjang karnival.
Aktiviti-aktiviti tersebut katanya bukan sahaja menghiburkan masyarakat, malah berjaya memupuk perpaduan, menyemai semangat kesukanan serta mengetengahkan keunikan budaya dan warisan masyarakat setempat.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan menggalakkan ialah pameran dan gerai jualan yang memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk masing-masing.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan penganjuran Pekit Kumang Keling, Pekit Pengelandik Main Asal dan Pertandingan Menyumpit, yang mencerminkan keunikan adat resam serta warisan budaya masyarakat yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Selain itu, Perarakan Kebudayaan turut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat, sekali gus menyemarakkan suasana karnival serta memperlihatkan kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan penduduk Selangau.
Ir Christopher berkata, Pertandingan Rakit Safari pada tahun ini turut mencatat rekod penyertaan tertinggi dengan penglibatan 45 pasukan, berbanding penganjuran sebelum ini, sekali gus membuktikan minat dan komitmen masyarakat yang semakin meningkat terhadap acara ikonik tersebut.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan, peserta, penaja, sukarelawan serta seluruh masyarakat yang telah berganding bahu menjayakan Karnival Selangau 2026.
Menurut beliau, semangat kerjasama dan perpaduan yang dipamerkan sepanjang penganjuran karnival mencerminkan kekuatan komuniti Selangau dalam menyokong agenda pembangunan kawasan.
Turut hadir pada Majlis Penangguhan Karnival Selangau 2026 ialah Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Cr Sempurai Petrus Ngelai, Pemangku Pegawai Daerah Selangau, Chua Siong Wei serta Pengerusi Penganjur Karnival Selangau 2026, Cr Minggu Angga. - EDISI UKAS