Sekolah Pedalaman Tonggak Pembangunan Masyarakat Luar Bandar
KAPIT: Sekolah di kawasan pedalaman memainkan peranan penting dalam memastikan akses pendidikan terus dinikmati oleh setiap kanak-kanak serta menjadi asas kepada pembangunan masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, kewujudan sekolah pedalaman bukan sahaja membuka peluang pendidikan kepada anak-anak, malah berperanan melahirkan generasi yang berilmu, berdikari dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Program Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Sempili di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai penganjuran program itu, beliau berkata, temasya sukan bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat murid, malah mengukuhkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat, selaras dengan usaha memperkasakan pendidikan di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar terus yakin dengan kemampuan sekolah berhampiran dalam menyediakan pendidikan berkualiti serta membimbing anak-anak menjadi insan yang berilmu, berakhlak dan mampu membawa perubahan positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Bahagian Kapit, Jarit Jarmit, Guru Besar SK Nanga Sempili, Morgan Indam, Guru Besar SK Lepong Gaat, Henry, Guru Besar SK Nanga Stapang, Anthony Senaun, guru-guru serta ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).-EDISI UKAS