MBKS Perkasa Penuaan Aktif Menerusi Program Kebudayaan & Komuniti
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus komited memperkasa agenda penuaan aktif dengan menyediakan pelbagai program kebudayaan, kesihatan dan rekreasi bagi memastikan warga emas kekal sihat, aktif serta terus memainkan peranan dalam pembangunan komuniti.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, usaha itu selaras dengan komitmen MBKS untuk membangunkan bandar yang mesra warga emas, sekali gus mewujudkan persekitaran yang menyokong kesejahteraan serta penglibatan aktif golongan berkenaan dalam masyarakat.
Menurut beliau, penuaan aktif bukan hanya memberi penekanan kepada aspek kesihatan fizikal, malah melibatkan penyertaan sosial, pembelajaran sepanjang hayat dan hubungan yang erat dalam komuniti.
“Sepanjang tahun, MBKS menganjurkan pelbagai program khas untuk warga emas termasuk aktiviti tarian, program kesihatan, senam zumba, acara kebudayaan, ceramah pendidikan dan aktiviti rekreasi.
“Kami mahu setiap warga emas mengetahui bahawa mereka kekal menjadi sebahagian penting daripada bandar ini, manakala pengalaman dan kebijaksanaan mereka terus menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertunjukan Tarian Rakyat sempena Festival Kuching 2026 di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Pertunjukan Tarian Rakyat yang menjadi sebahagian daripada Festival Kuching sejak lebih 20 tahun lalu terus berperanan sebagai platform memupuk perpaduan menerusi seni, budaya dan persahabatan.
Katanya, program tersebut bukan bertujuan mempertandingkan bakat, sebaliknya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menghargai kepelbagaian budaya serta warisan yang dimiliki.-EDISI UKAS