Karnival Selangau Perkasa Ekonomi Komuniti, Lestarikan Warisan Budaya
SELANGAU: Penganjuran Karnival Selangau 2026 terus membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam memperkasa ekonomi komuniti setempat di samping melestarikan warisan budaya masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, kejayaan penganjuran karnival berkenaan terserlah menerusi kepelbagaian aktiviti yang bukan sahaja menghiburkan, malah memupuk perpaduan serta menyemai semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.
“Semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan sepanjang penganjuran ini mencerminkan kekuatan komuniti dalam menyokong agenda pembangunan kawasan,” katanya semasa berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Selangau 2026 pada Ahad.
Menurut beliau, antara pengisian yang mendapat sambutan menggalakkan ialah pameran dan gerai jualan, selain pertandingan berunsur tradisional seperti Pekit Kumang Keling, Pekit Pengelandik Main Asal serta Pertandingan Menyumpit yang mencerminkan keunikan adat resam tempatan.
Tambah beliau, Perarakan Kebudayaan turut menjadi antara tarikan utama apabila berjaya menghimpunkan pelbagai etnik, sekali gus menyerlahkan kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan masyarakat Selangau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pertandingan Rakit Safari tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dengan penglibatan 45 pasukan, sekali gus menunjukkan peningkatan minat dan komitmen masyarakat terhadap acara ikonik tersebut.
Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Cr Sempurai Petrus Ngelai, Pemangku Pegawai Daerah Selangau, Chua Siong Wei serta Pengerusi Penganjur Karnival Selangau 2026, Cr Minggu Angga.-EDISI UKAS