Kerajaan Sarawak Terus Komited Perkasa Pembangunan Sosial Secara Inklusif
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pembangunan sosial secara inklusif bagi memastikan masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada menikmati akses kepada perkhidmatan, bantuan serta pelbagai inisiatif yang disediakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, kerajaan akan terus memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.
“Pembangunan tidak seharusnya hanya dilihat daripada sudut pembangunan fizikal dan infrastruktur semata-mata. Pembangunan yang sebenar turut merangkumi pembangunan manusia, keluarga dan komuniti.
“Kerajaan bukan sahaja hadir untuk menyampaikan maklumat, tetapi turut mendengar, berinteraksi dan memahami keperluan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) Bahagian Limbang Tahun 2026 pada Ahad.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada memperoleh maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan, bantuan serta inisiatif yang disediakan kerajaan.
Menurut beliau, jarak dan kedudukan geografi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk mengakses perkhidmatan kerajaan, sebaliknya usaha mendekati komuniti perlu terus diperkasakan.
Tambahnya, pembangunan sosial memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, ketua kaum, keluarga, golongan belia, wanita serta seluruh anggota komuniti dalam membina masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan.
Jelasnya lagi, pendekatan kumpulan fokus mengikut peringkat umur membolehkan penyampaian maklumat disesuaikan dengan keperluan setiap kelompok masyarakat agar manfaat yang diterima lebih berkesan.
Beliau berharap program pembangunan sosial seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar dan pedalaman di Bahagian Limbang bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus diperkukuhkan.
Hadir sama isteri ADUN Batu Danau, Datin Mary Sindang, Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohd Shahrulnizam Jamalluddin, wakil Residen Bahagian Limbang, Aspalela Mohamad Sahmoni dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit, Donny Dunggat.-EDISI UKAS