Pengurusan Wakaf Perlu Beri Nafas Baharu, Hadapi Cabaran Global Dipacu AI
KUALA LUMPUR: Dalam menghadapi perubahan dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, perubahan iklim serta cabaran sosioekonomi, pengurusan wakaf perlu diberi nafas baharu tanpa mengabaikan prinsip dan nilai Islam yang menjadi asas penubuhannya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan institusi wakaf terus relevan dan mampu memenuhi keperluan masyarakat dalam landskap pembangunan yang semakin dinamik.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menjelaskan, prinsip asas wakaf tidak perlu diubah, sebaliknya aspek pengurusan, pembangunan dan penggunaannya perlu ditransformasikan agar mampu memenuhi keperluan semasa.
“Jawapannya bukanlah dengan mengubah falsafah wakaf, tetapi dengan menilai semula cara ia diurus, dibangunkan dan dimanfaatkan supaya dapat memenuhi keperluan semasa, sambil kekal berteraskan nilai-nilai Islam yang menjadi tunjangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan semasa Majlis Perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian konvensyen yang menghimpunkan ilmuwan, pakar wakaf, ahli akademik serta delegasi dari pelbagai negara bagi membincangkan masa depan institusi wakaf di peringkat global itu.
Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari berkata, wakaf tidak lagi seharusnya dilihat semata-mata sebagai institusi kebajikan, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai instrumen strategik yang mampu menyokong pembangunan sosioekonomi secara mampan.
“Hari ini, wakaf tidak lagi wajar dilihat hanya sebagai sebuah institusi kebajikan. Sebaliknya, ia perlu diiktiraf sebagai instrumen strategik bagi memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan konsep Wakaf Ilmu sebagai pendekatan baharu yang mampu memperkukuh pembangunan modal insan dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Selain tanah dan aset fizikal, ilmu pengetahuan kini menjadi antara bentuk kekayaan yang paling bernilai. Atas sebab itu, konsep Wakaf Ilmu perlu diberi perhatian kerana mempunyai peranan yang amat besar dalam pembangunan masa depan,” jelasnya.
Malaysia juga ujar beliau, bersedia memainkan peranan lebih besar dalam memacu inovasi wakaf di peringkat global menerusi perkongsian pengalaman, pengukuhan kerjasama antarabangsa serta penerapan teknologi dan tadbir urus moden bagi memaksimumkan potensi wakaf sebagai pemangkin pembangunan mampan. -EDISI UKAS