Pelaburan Strategik Perkukuh Industri Perkhidmatan Sarawak Bertaraf Dunia
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan industri perkhidmatan sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pelaburan strategik dalam infrastruktur, pengangkutan, kesihatan dan pembangunan modal insan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan daya saing negeri, malah mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan, pelancongan dan kehidupan berkualiti.
Menurut beliau, pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri bertujuan menyediakan ekosistem perkhidmatan bertaraf dunia yang mampu memenuhi keperluan pelabur, komuniti perniagaan dan pelawat.
“Kita hanya boleh menarik pelaburan dengan syarat kita mempunyai infrastruktur perkhidmatan kelas pertama,” katanya semasa berucap pada majlis pembukaan Wisma Elica, Voco Kuching oleh IHG and Care Collective di sini, pada Selasa.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) berasaskan teknologi hidrogen serta penjenamaan semula MASwings kepada AirBorneo bagi memperkukuh kesalinghubungan darat dan udara Sarawak.
Menurut beliau, usaha itu dijangka meningkatkan daya tarikan Sarawak kepada pelancong dan pelabur, sekali gus menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan perkhidmatan.
Dalam masa sama, Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan menerusi pembinaan beberapa hospital moden serta peluasan kemudahan kesihatan sedia ada bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus melaburkan semula hasil Sarawak bagi membangunkan infrastruktur strategik termasuk jaringan jalan raya, bekalan air, tenaga dan kemudahan kesihatan demi memastikan pembangunan negeri kekal mampan.
Katanya lagi, peningkatan hasil negeri membolehkan pelbagai pelaburan dilaksanakan, termasuk penyediaan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Wisma Elica yang menempatkan hotel voco Kuching, hotel pertama di Malaysia di bawah jenama voco by IHG Hotels & Resorts, serta Care Collective, komuniti persaraan bersepadu terbesar di Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Mentei Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Pengarah Urusan Elica Equity Sdn. Bhd., Dato’ Bobby Ting Sie Ching serta dif-dif jemputan lain.-EDISI UKAS