SMD Semiconductor Pamer Inovasi IC Ciptaan Anak Sarawak Di Pusat Sains Sarawak
KUCHING: Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor akan mengetengahkan pelbagai inovasi berasaskan litar bersepadu (IC) hasil ciptaan pelajar sekolah menengah dan universiti di seluruh Sarawak sempena pelancaran Pusat Sains Sarawak, pada Rabu.
Menurut kenyataan media SMD Semiconductor pada Selasa, antara inovasi yang bakal dipamerkan ialah kereta lumba berkuasa IC, osiloskop dan gramofon, sekali gus membuktikan keupayaan serta kreativiti bakat muda Sarawak dalam bidang reka bentuk cip dan teknologi semikonduktor.
Kesemua projek tersebut merupakan hasil penyertaan pemenang IC Design Make-A-Thon, iaitu program pembangunan bakat yang memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai reka bentuk litar bersepadu (IC), selain mengasah kemahiran inovasi, penyelesaian masalah dan aplikasi teknologi.
Penyertaan itu turut mencerminkan komitmen berterusan SMD Semiconductor dalam membangunkan bakat tempatan bagi menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan ekosistem semikonduktor yang berdaya saing serta merealisasikan pembangunan cip milik Sarawak.
Melalui platform Pusat Sains Sarawak, syarikat tersebut berhasrat mendekatkan dunia semikonduktor kepada generasi muda menerusi pengalaman pembelajaran yang interaktif dan berasaskan amali.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif berkenaan dijangka menyemai minat lebih ramai anak muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus membuka laluan kepada mereka untuk meneroka kerjaya dalam industri semikonduktor yang menjadi antara pemacu utama transformasi ekonomi negeri.
Usaha memperkasa bakat dalam bidang reka bentuk cip, kejuruteraan dan teknologi diyakini mampu memperkukuh ekosistem semikonduktor Sarawak serta menyokong agenda negeri melahirkan cip reka bentuk tempatan pada masa hadapan.
Selain mempamerkan hasil inovasi pelajar, pameran tersebut turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang kerjaya dalam industri semikonduktor dan membuktikan bahawa bakat bertaraf global mampu dilahirkan dari Sarawak.
Pusat Sains Sarawak akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Rabu.
Pusat berkenaan berfungsi sebagai hab pembelajaran yang memupuk minat terhadap bidang STEM dalam kalangan pengunjung daripada pelbagai peringkat usia. -EDISI UKAS