Taman Rekreasi Hillstone Galak Gaya Hidup Sihat, Persekitaran Hijau
MIRI: Pembangunan Taman Rekreasi Hillstone di Jalan Hillstone Utama di sini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat selain mewujudkan persekitaran hijau yang lebih kondusif.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata fasa pertama projek berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2025.
Menurut beliau, skop pelaksanaan fasa tersebut merangkumi kerja pembersihan kawasan, pembinaan laluan konkrit selebar dua meter sepanjang kira-kira 300 meter, pemasangan 12 bangku konkrit, pagar keselamatan serta empat lampu jalan solar.
“Projek ini telah dimulakan pada 20 Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 19 September tahun ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja meninjau perkembangan projek berkenaan di sini, pada Selasa.
Beliau menambah, fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada pembinaan taman permainan kanak-kanak, gimnasium luar serta penyambungan laluan joging dan berjalan kaki bagi meningkatkan lagi kemudahan kepada penduduk.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan taman rekreasi di kawasan perumahan merupakan antara keutamaan dalam DUN Senadin bagi memastikan masyarakat mempunyai akses kepada ruang hijau yang berkualiti.
Tambah beliau, inisiatif penyediaan kemudahan rekreasi turut diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Permyjaya, Desa Senadin, Tudan, Riam Road dan Vista Perdana.
Usaha tersebut akan diteruskan dengan mengenal pasti kawasan lapang yang bersesuaian bagi dibangunkan sebagai ruang hijau lengkap dengan laluan joging, taman permainan dan kemudahan senaman luar.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan penduduk setempat menubuhkan persatuan komuniti bagi menganjurkan aktiviti bersama selain membantu menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan rekreasi.
Turut hadir Penolong Jurutera Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lisa Kumek, Kapitan Chong Kee Hua, Kaunselor William Sim dan Kaunselor Lau Sie Nguong.-EDISI UKAS