Pemilik Bangunan Lama Digalak Beri Nafas Baharu Kepada Aset Bersejarah
KUCHING: Pemilik bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah digalak mempertimbangkan usaha memulihkan dan mengubah suai bangunan masing-masing mengikut keperluan semasa tanpa menjejaskan nilai sejarah serta identiti asalnya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bangunan warisan yang telah uzur tidak semestinya perlu dirobohkan atau digantikan dengan bangunan baharu, sebaliknya boleh dipulihkan untuk diberikan fungsi baharu.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan membolehkan bangunan bersejarah terus dimanfaatkan di samping memastikan nilai warisannya kekal terpelihara.
“Kalau pemilik berhasrat mengubah bangunan itu untuk fungsi tertentu, mengapa tidak? Kita menggalakkan, asalkan struktur utama bangunan warisan itu terus dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Wisma Elica, Voco Kuching oleh IHG and Care Collective di sini, pada Selasa.
Premier Sarawak berkata, pembangunan semula Wisma Elica merupakan contoh bagaimana sebuah bangunan lama dapat dipulihkan untuk kegunaan baharu tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Beliau turut merujuk Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Hotel Fullerton di Singapura sebagai contoh bangunan warisan yang berjaya dipulihkan dengan mengekalkan nilai sejarahnya.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, usaha memulihara dan memanfaatkan bangunan warisan secara berterusan mampu menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih lestari tanpa mengabaikan nilai sejarah yang menjadi identiti sesebuah tempat.-EDISI UKAS