Ahli Lembaga Pengarah Agensi Angkasa Sarawak Dimuktamad
KUCHING: Agensi Angkasa Sarawak telah memuktamadkan pelantikan ahli lembaga pengarahnya dan kini dalam proses mencari individu sesuai untuk menerajui agensi berkenaan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, beberapa permohonan bagi jawatan berkenaan telah diterima dan proses pemilihan sedang dilaksanakan.
“Kita juga telah menubuhkan Sarawak Space Agency di bawah kementerian. Ini adalah permulaan dan saya difahamkan ahli lembaga pengarahnya telah dimuktamadkan.
“Kita kini sedang mencari seorang CEO. Saya rasa kita telah menerima beberapa permohonan dan kita akan dapat seorang sebelum akhir tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian The Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass 2026 di sini pada Isnin.
Menurut Dato Sri Julaihi, penubuhan agensi berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah Sarawak memperluaskan aspirasi teknologinya melangkaui aspek ketersambungan daratan kepada pembangunan keupayaan aeroangkasa dan satelit.
Ujarnya, Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak pula akan memainkan peranan memberikan hala tuju strategik, menyelaras kepakaran institusi serta membimbing pembangunan sektor berkenaan secara bertanggungjawab.
Katanya, pembangunan keupayaan tersebut akan membuka ruang kepada Sarawak meneroka bidang komunikasi satelit, pemerhatian bumi, penderiaan jauh serta aplikasi geospatial.
Ia juga dijangka membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam khususnya dalam menangani cabaran geografi Sarawak yang luas.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy