Arca EcoBrick Terbesar Malaysia Jadi Simbol Kesedaran Alam Sekitar Miri
MIRI: Sarawak mencipta sejarah selepas kejayaan membina arca kuda laut EcoBrick terbesar di Malaysia yang menggunakan 2,137 EcoBrick hasil sumbangan lebih 1,500 peserta.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kejayaan menghasilkan arca setinggi 3.7 meter dan selebar empat meter itu membuktikan kekuatan serta semangat kerjasama masyarakat Miri dalam menjayakan inisiatif berkaitan alam sekitar.
Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan hasil usaha seorang individu, sebaliknya terhasil daripada komitmen dan kerjasama lebih 1,500 peserta yang terdiri daripada warga sekolah, pertubuhan masyarakat, organisasi perniagaan dan orang awam.
“Kita perlu terus mendidik masyarakat mengenai kaedah pelupusan sampah yang betul dan meningkatkan pengurusan sisa. Di negara dan bandar maju, sampah diasingkan mengikut jenis seperti botol, plastik dan kertas untuk memudahkan proses kitar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis penyerahan dan perasmian Penyerahan Arca EcoBrick Terbesar Malaysia kepada Miri City Council (MCC) di Taman Awam Miri, pada Ahad.
Beliau berkata, penyerahan arca tersebut kepada MCC merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar serta menyokong aspirasi menjadikan Miri sebuah bandar yang lebih hijau dan mampan.
Katanya, Tzu Chi selama ini bukan sahaja aktif dalam kerja kemanusiaan dan kebajikan, malah turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula sisa.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memberi perhatian serius terhadap isu pembuangan sampah yang tidak terkawal, khususnya kerana ia boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan menyumbang kepada kejadian banjir kilat.
Menurutnya, sampah yang terdapat di pantai bukan semata-mata berpunca dari laut, sebaliknya sebahagiannya berasal daripada masyarakat sendiri apabila sampah dibuang ke longkang, mengalir ke sungai sebelum akhirnya sampai ke laut dan dihanyutkan kembali ke pantai.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Lee memaklumkan kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada kawasan baharu yang telah dibangunkan di Taman Awam Miri dan dikenali sebagai Eco Cliff Park.
Beliau berkata, kawasan tersebut mempunyai nilai pendidikan dan geologi yang penting kerana struktur geologi semula jadinya boleh dijadikan sebagai lokasi pembelajaran untuk pelajar bidang geologi dan kejuruteraan petroleum.
Katanya, pembangunan Eco Cliff Park dilaksanakan melalui peruntukan khas sebanyak RM1.5 juta yang diperoleh daripada Premier Sarawak bagi meningkatkan kemudahan rekreasi dan pendidikan di kawasan berkenaan.
Antara perancangan seterusnya termasuk pembangunan sebuah Taman Eco baharu di kawasan itu serta konsep ‘Green Wall of Miri City’.-EDISI UKAS